Jumaat, 25 Januari 2019 | 11:56pm
PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (tengah) bersama peserta pada Program Latihan Keusahawanan My CUEPACSCare di Hotel Crystal Crown, Klang. - Foto Faiz Anuar

Sasar 300,000 lagi penjawat awam sertai CUEPACSCare

KLANG: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyasarkan 300,000 lagi penjawat awam di seluruh negara akan menyertai polisi perlindungan takaful CUEPACSCare menjelang akhir tahun ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam bagi mendapatkan perlindungan kesihatan dan kemalangan tambahan untuk diri dan keluarga.

“Sejak polisi ini diperkenalkan 20 tahun lalu, rekod menunjukkan hanya 400,000 penjawat awam yang mendaftar berbanding jumlah penjawat awam yang ada seramai 1.6 juta.

“CUEPACS tidak boleh memaksa semua penjawat awam mengambil skim ini kerana ia bersifat sukarela,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Latihan Keusahawanan My CUEPACSCare di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Medicare Assistance Sdn Bhd, K Palanisamy.

Mengulas lanjut, Azih berkata, tahun lalu, seramai 11,382 penjawat awam dan ahli keluarga yang menyertai CUEPACSCare menerima rawatan di hospital pakar swasta.

Beliau berkata, semua rawatan berkenaan membabitkan tuntutan berjumlah RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh CUEPACS.

Antara penyakit yang paling banyak dirujuk tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

“Lebih ramai kakitangan awam yang mengambil skim ini, ia akan membantu masalah longgokan pesakit di hospital kerajaan.

“Dengan pengambilan skim ini, kakitangan dapat menerima rawatan yang lebih baik, sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja dengan lebih fokus,” katanya.

Berita Harian X