Jumaat, 25 Januari 2019 | 5:11pm
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman. - Foto Zain Ahmed
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman. - Foto Zain Ahmed

Pembekalan segera baja sawah bersubsidi RM90 juta bermula hari ini

TELUK INTAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan peruntukan RM90 juta bagi pembekalan segera baja subsidi kepada seluruh pesawah dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini.

Pembekalan baja sebatian dan urea melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu dibuat sementara menunggu mekanisme baharu skim agihan baja subsidi Kerajaan Persekutuan yang dijangka akan diputuskan Kabinet selepas tempoh tiga bulan agihan segera itu.

Pengerusi LPP Malaysia, Datuk Mazlan Aliman, berkata Sungai Manik di sini adalah kawasan sawah pertama di negara ini menerima serahan skim baja subsidi padi di bawah kementerian itu hari ini, dengan LPP menyelia penghantarannya.

Katanya, pesawah menerima sebanyak 16 kampit iaitu 12 kampit baja sebatian dan empat kampit urea bagi setiap hektar sawah diusahakan.

“Dengan ini, apa yang menjadi kerisauan kepada pesawah padi (baja subsidi lewat diagihkan) sudah dapat kita tangani, manakala bagi kawasan liputan lain termasuk di pantai timur, akan menyusul selepas ini.

“Bagi mekanisme (agihan) seterusnya, akan ditentukan oleh Kabinet melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan gimik serahan baja berkenaan kepada wakil pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik/Labu Kubong, Cawangan Chikus, dekat sini, hari ini.

Keseluruhan sebanyak 210 tan metrik baja sebatian dan 106 tan metrik baja urea dibekalkan kepada pesawah di PPK berkenaan yang juga kawasan sawah paling awal menanam padi bagi musim ini di negara ini.

Mazlan berkata, penghantaran segera baja subsidi diputuskan kementerian untuk menangani isu tanaman padi yang sudah bermula sebulan lalu di Sungai Manik.

“Dengan peruntukan yang sudah diluluskan, kilang baja kita di Gurun, Kedah bertanggungjawab menyediakan peruntukan (bekalan baja subsidi) bagi tempoh tiga bulan ini dan selepas itu ia adalah tindakan kementerian dengan keputusan Kabinet.

“Apa-apa keputusan akan dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub,” katanya sambil menegaskan Salahuddin sendiri akan mengumumkan sebarang perubahan atau mekanisme baharu agihan baja itu nanti.

Ditanya adakah perubahan mekanisme baharu agihan baja subsidi ada kaitan dengan isu penyelewengan baja subsidi kerajaan, Mazlan berkata perkara itu hanya boleh dijawab menteri.

Sebelum ini, media menyiarkan kes dan sabitan mahkamah berhubung isu kesalahan pecah amanah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) termasuk di Melaka.

Sementara itu, seorang pesawah, Sulaiman Lebai Din, 42, yang ditemui pada majlis serahan baja berkata pesawah lega apabila menerima baja subsidi hari ini, selepas penghantarannya lewat hampir sebulan.

“Baja amat diperlukan dan apabila lewat, pesawah terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli baja sebatian berharga lebih RM40 sekampit dan lebih RM50 bagi baja urea.

“Bagi setiap satu ekar (0.4 hektar) sawah kita perlukan empat kampit baja sebatian dan dua kampit baja urea, jadi ia akan meningkatkan kos tanaman padi jika terpaksa membeli sendiri,” katanya.

Berita Harian X