KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Merafak sembah setinggi tahniah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena diperkenan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku,” katanya menerusi catatan di Twitter beliau.
Al-Sultan Abdullah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.
Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini menyebut mesyuarat turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Menteri Pertahanan Mohammad Sabu menerusi Twitternya berkata : “Patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Abdullah atas pelantikan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku.” - BERNAMA