Khamis, 24 Januari 2019 | 5:55pm
ultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (kiri) diiringi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad ketika keberangkatan pulang baginda selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Kasih sayang Al-Sultan Abdullah untuk rakyat

KUANTAN: Masih terbayang dalam minda Pegawai Khas/Protokol Tengku Mahkota Pahang, Datuk Abd Rahman Endut peristiwa Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengarahkan ambulans mengiringinya membawa mangsa kemalangan ke hospital suatu ketika dahulu.

“Ketika itu baginda (masih sebagai Tengku Mahkota Pahang) berada di Lipis untuk lawatan dan rombongan kami terserempak dengan satu kejadian kemalangan... baginda terus mengarahkan ambulans mengiringinya membawa mangsa ke hospital dengan diiringi motosikal polis.

“Baginda bimbang dengan keadaan mangsa kemalangan dan mahukannya mendapat rawatan segera. Ia menunjukkan bagaimana baginda sentiasa mendahulukan rakyat kerana sifat kasih sayangnya disemai pada dirinya sejak kecil lagi,” katanya yang berkhidmat dengan Al-Sultan Abdullah sejak 45 tahun lalu.

Kisah diceritakan Abd Rahman itu adalah antara pelbagai lagi cerita mengisahkan keprihatinan Al-Sultan Abdullah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Al-Sultan Abdullah sememangnya dikenali sebagai pemerintah sentiasa mendahulukan rakyat, sayang kepada rakyatnya dan sentiasa mahu berdamping dengan mereka ketika susah atau senang menyebabkan kelibatnya sentiasa dinanti rakyat jelata.

Kelibatnya sentiasa kelihatan di kawasan dilanda musibah atau banjir, kebakaran atau kejadian lemas di negeri ini untuk berdamping bersama rakyat dan bertanya khabar mereka seterusnya menghulurkan bantuan segera.

Baginda yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan tidak kekok menjelajah ke setiap perkampungan untuk mendengar sendiri denyut nadi rakyat dan sentiasa mudah didekati bagi membolehkan rakyat menyampaikan permasalahan mereka.

Ketika melawat mangsa ribut di Kampung Pasir Panjang, Pekan, 26 November tahun lalu, baginda meminta penduduk terjejas duduk bersama dengannya di bawah khemah, manakala pegawai kerajaan dan wakil rakyat pula berdiri di belakangnya untuk mengambil maklum aduan.

Bagi mengurangkan segan dalam kalangan penduduk, baginda bergurau dengan mereka dan kemesraannya itu membuka mulut penduduk bagi menyampaikan permasalahan dihadapi mereka untuk diselesaikan pihak berkuasa.

Kecekapan dan kemesraan baginda itu sudah tentu diwarisi daripada ayahandanya, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan nendanya, Almarhum Sultan Abu Bakar selain hasil pendidikan diterimanya termasuk di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom.

Pengalaman diperolehnya di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst memberi ketahanan fizikal dan kekuatannya melawat kawasan perkampungan yang ada kalanya keadaan persekitarannya begitu mencabar.

Namun, Al-Sultan Abdullah tidak pernah mengeluh apabila berdepan pelbagai cabaran malah seronok apabila bersama rakyat yang menjadi keutamaan buat dirinya seperti dalam titah baginda ketika dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, 15 Januari lalu.

“Kepada rakyat jelata sekalian, saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak. Kekuatan sebuah negeri adalah kerana Raja pemerintah, manakala kekuatan Raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya.

“Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah dan menumpang kasih apabila berduka.

“Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda (Sultan Ahmad Shah) yang berpaksikan kepada kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintahan saya,” titah baginda.

Selepas ini, Al-Sultan Abdullah akan mencurahkan kasih sayangnya kepada rakyat Malaysia pula untuk tempoh lima tahun selepas dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Diyakini khidmat cemerlang baginda di Pahang akan diteruskan di peringkat persekutuan dan mampu memainkan peranannya terutama dalam memastikan kesejahteraan rakyat seperti sering menjadi keutamaan Al Sultan Abdullah.

'Allahu Akbar' 'Allahu Akbar' 'Allahu Akbar'. 'Daulat Tuanku'.

Berita Harian X