Khamis, 24 Januari 2019 | 9:33am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Great Eastern Holdings Berhad, Khor Hock Seng pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam di Kementerian Kewangan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Skim mySalam sedia bantuan perubatan bagi golongan B40 mulai Mac

PUTRAJAYA: Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam diperkenalkan sebagai inisiatif kerajaan bantu golongan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata di bawah skim itu, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer.

"Penerima skim mySalam akan mendapat bayaran 'one-off' (sekali gus) sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap penyakit kritikal.

"Skim mySalam juga memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

"Saiz dana permulaan skim mySalam sebanyak RM2 bilion dijangka dapat menawarkan perlindungan perubatan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun bagi golongan sasar," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di sini hari ini.

Skim mySalam dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Skim mySalam bermula pada 1 Januari lalu dan penerima B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac nanti.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Skim Perlindungan B40 mySalam dan turut bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kewangan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Dr Dzulkefly, dalam ucapannya berkata pihaknya akan memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40 bagi menangani isu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi dalam kalangan golongan B40 di negara ini.

Jelas beliau, butiran lebih lanjut berhubung skim PeKa B40 yang bakal diumumkan pada 28 Januari ini, akan saling melengkapi skim mySalam yang diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia.

Skim mySalam menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Melalui mySalam, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.

Dr Dzulkefly berkata PeKa B40 dan mySalam berkongsi prinsip sosial yang sama iaitu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menghuraikan skim PeKa B40, beliau berkata ia akan memberi tumpuan kepada saringan kesihatan iaitu pengesanan awal terhadap NCD.

"Pengesanan awal adalah mustahak bagi mengelakkan keperluan rawatan yang rumit serta kos yang tinggi sekiranya pesakit didiagnos lewat atau sudah berada pada tahap kritikal.

"Inisiatif ini dilihat akan memberi kesan jangka panjang terhadap tahap kesihatan rakyat Malaysia secara umum," katanya.

mySalam pula, katanya akan memberi menumpukan kepada pemberian manfaat kepada penerima apabila baru menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.

"Bagi memastikan kejayaan kedua-dua skim ini, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memastikan kesinambungan dari segi manfaat yang diberikan.

"Ini bertepatan dengan semangat dan hasrat kerajaan hari ini untuk meningkatkan kerjasama antara semua kementerian bagi memacu sinergi, demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Berita Harian X