Rabu, 23 Januari 2019 | 9:48pm
LEE Boon Chye ketika sidang media selepas merasmikan perkhidmatan penjagaan jantung (Cardiac Care Service) di Hospital Tung Shin. - NSTP/Owee Ah Chun
LEE Boon Chye ketika sidang media selepas merasmikan perkhidmatan penjagaan jantung (Cardiac Care Service) di Hospital Tung Shin. - NSTP/Owee Ah Chun

Pemilik premis boleh memohon status kawasan larangan merokok

KUALA LUMPUR: Semua premis perniagaan boleh membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan untuk diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata permohonan itu bagi membolehkan penguatkuasa kesihatan mengambil tindakan terhadap perokok yang merokok di premis mereka.

Katanya, pihak kementerian menerima banyak aduan daripada pemilik premis berhampiran restoran dan tempat makan, di mana perokok akan merokok di sekitar premis mereka.

“Kawasan larangan merokok membolehkan perokok yang merokok di premis mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Perkhidmatan Jantung Hospital Tung Shin di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Hospital Tung Shin, Tan Sri Datuk Khoo Chai Kaa.

Dr Boon Chye berkata minggu lalu lebih 100 premis perniagaan di Sabah mendapat ‘Sijil Reben Biru` sebagai penghargaan kerana secara sukarela membuat permohonan mengisytiharkan kawasan perniagaan mereka sebagai kawasan larangan merokok.

Mengenai perkembangan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan sejak 1 Januari lalu, beliau berkata ia memperoleh sambutan baik.

“Kita tidak mengeluarkan saman, tetapi hanya bagi surat amaran,” katanya.

Berita Harian X