Rabu, 23 Januari 2019 | 4:47pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pemasyhuran Kampung Kerinchi untuk elak kekeliruan awam

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan memaklumkan pemasyhuran semula nama Kampung Kerinchi baru-baru ini dilakukan bagi mengelak kekeliruan kepada orang awam selain mengesahkan bahawa kawasan itu masih wujud sehingga kini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata walaupun nama Bangsar South dilihat dominan dan lebih dikenali orang awam berbanding Kampung Kerinchi, namun kawasan asal Kampung Kerinchi masih wujud.

Beliau berkata, jika dilihat dalam peta, Kampung Kerinchi masih wujud dan Bangsar South dibina dalam kawasan itu.

"Selain daripada projek pembanganun pesat itu, kawasan sekelilingnya masih lagi dinamakan Kampung Kerinchi. Lagipun, tidak semua pembangunan Bangsar South meliputi keseluruhan Kampung Kerinchi.

"Jadi tidak timbul nama Bangsar South menggantikan nama Kampung Kerinchi sebaliknya Bangsar South dibangunkan atas kawasan Kampung Kerinchi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, nama Bangsar South itu dipilih oleh pemaju supaya ia nampak lebih komersial selain kedudukannya yang berdekatan dengan kawasan kediaman dan pembangunan elit, Bangsar.

Khalid berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk membatalkan nama Bangsar South kerana ia hanya nama kawasan pembangunan khusus di kawasan itu.

Majlis pemasyhuran semula nama Kampung Kerinchi berlangsung baru-baru ini dan ia disempurnakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, penamaan semula nama asal Kampung Kerinchi dibuat bagi mengembalikan identiti asal kampung terbabit yang tenggelam dengan gelaran Bangsar South.

Tambahnya, gelaran yang dianggap 'glamor' bagi penduduk baharu kawasan itu, bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat asal Kampung Kerinchi yang inginkan identiti sendiri.

Asal usul Kerinchi adalah nama bagi salah satu keturunan dari Sumatera, Indonesia yang menguasai kawasan Kampung Kerinchi pada awal zaman pembangunan Kuala Lumpur iaitu pada awal abad ke 19.

Namun selepas Kampung Kerinchi diberi rupa baharu dalam bentuk pembangunan pesat seperti jalan yang lebih luas, pejalan kaki dibina bagi memudahkan penduduk serta pembinaan bangunan, ia lebih dikenali sebagai Bangsar South.

Berita Harian X