Ahad, 20 Januari 2019 | 8:38pm
Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kanan) pada sidang media dengan wartawan Malaysia mengenai Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia dijangka ketengah dua inisiatif perangi rasuah

VIENNA: Malaysia akan mencadangkan dua inisiatif antarabangsa dalam usaha memerangi rasuah di peringkat global yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Dua inisiatif itu antara yang akan disentuh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Pertubuhan Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), di sini, Selasa ini.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata dua inisiatif itu ialah penubuhan dana perlindungan bagi kakitangan penguat kuasa anti-rasuah dan peranan lebih besar IAACA di peringkat sejagat.

“Sampai masanya IAACA berperanan lebih besar seperti INTERPOL dan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) yang lebih berstruktur dan aktif memerangi rasuah serta penyelewengan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Abu Kassim yang juga Naib Presiden IAACA berkata, inisiatif dan lontaran idea berkenaan sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai negara pengasas IAACA yang kini dianggotai 77 negara.

Beliau berkata, penubuhan ‘Dana Pejuang’ membantu pegawai anti-rasuah itu semakin diperlukan apabila ramai ‘mangsa’ yang terjejas dan dizalimi ketika menjalankan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan.

“Contohnya, ada pegawai pendakwa dibunuh dan pegawai diugut termasuk dari Malaysia sebelum ini.

“Pegawai penguat kuasa di Indonesia pernah disimbah asid dan bekas peguam negara diberhentikan kerja.

“Terbaharu, bekas pelajar Akademi Anti Rasuah Antarabangsa (IACA) yang selepas pulang ke negaranya diberhentikan kerja dan kita menawarkan pekerjaan sebagai tenaga pengajar di IACA,” katanya.

Ditanya apakah bentuk sokongan dan perlindungan, Abu Kassim berkata, semua kerangka dana berkenaan akan dibincangkan pada persidangan esok serta mesyuarat peringkat jawatankuasa eksekutif IAACA sepanjang tiga hari nanti.

“Ia memerlukan perbincangan lebih spesifik babit semua negara anggota kerana kita tidak mahu dilihat ada unsur campur tangan perundangan atau hal ehwal dalam sesebuah negara.

“Selain itu kita mahu memastikan mereka yang benar-benar menjadi mangsa dibela atau dibantu agar mereka mampu menjalankan tugas dengan betul dan tegas,” katanya.

Berita Harian X