Ahad, 20 Januari 2019 | 7:00pm
AHLI Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman. - Foto Mohd Yusni Ariffin
AHLI Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pinda, hapus Akta Hasutan undang parah

KUALA LUMPUR: Percaturan untuk memansuhkan atau meminda Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang mempunyai kaitan dengan empat isu sensitif bakal membangkitkan kemarahan Melayu dan Bumiputera, sekali gus mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman, mendakwa gerakan didalangi secara terang-terangan oleh DAP itu mempunyai agenda tersembunyi, iaitu untuk menghapuskan peruntukan Artikel 152, 153 dan 3 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan perundangan yang masing-masing berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, peranan Yang di-Pertuan Agong dan Islam diangkat menjadi agama rasmi Persekutuan itu akan menjadi ‘mangsa’ seterusnya oleh DAP selepas mereka berjaya menghapuskan Akta Hasutan 1948.

“Bukti sudah ada apabila seorang ahli DAP menyatakan tidak bersetuju Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan dalam sesi soal balas di mahkamah, justeru hasrat untuk buang Artikel 152, 153 dan 3 Perlembagaan Persekutuan memang wujud.

“Mereka hapus saja Akta Hasutan dan buang tiga perkara ini (Artikel 152, 153 dan 3 Perlembagaan Persekutuan), Melayu nanti semua keluar merusuh pakai parang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Abd Aziz menyifatkan Akta Hasutan 1948 ialah ‘perisai’ keselamatan negara yang bertujuan untuk mengekang sebarang gerakan memanipulasi empat isu sensitif seperti dipersetujui Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) menerusi pindaan akta terbabit pada 1970.

Beliau berkata, isu sensitif merangkumi perihal Bahasa Kebangsaan, hak keistimewaan orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan serta kedudukan Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diusik bagi mengelakkan ‘peristiwa hitam’ pada 13 Mei 1969 kembali berulang.

“Nak pinda (Akta Hasutan 1948) selain menyentuh empat perkara sensitif ini boleh, tetapi inti pati selebihnya tidak harus disentuh langsung. Biarkan,” katanya.

Berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan pernah dilantik menjadi pegawai perundangan MAGERAN, Abd Aziz berkata, pemansuhan atau pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan 1971 membabitkan pindaan Perkara 159(5) memperuntukkan ‘sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja’.

“Jangan kata nak pinda atau hapus, sesiapa yang berhasrat untuk berbuat demikian sepatutnya boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 kerana didapati mempunyai kecenderungan menghasut.

“Seksyen ini memperuntukkan ‘Sesuatu kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan - (f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebetulnya, Peguam Negara (Tommy Thomas) pun boleh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948, cuma persoalannya siapa yang mempunyai kuasa untuk memfailkan pendakwaan terhadapnya,” katanya.

Berita Harian X