Ahad, 20 Januari 2019 | 6:48pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub - Foto Eizairi Shamsudin

Warta sawah selesaikan ancaman jelapang padi

JOHOR BAHRU: Penguatkuasaan pewartaan semua kawasan tanaman padi dilihat antara penyelesaian terbaik bagi menangani masalah keluasan sawah yang semakin mengecil di Kedah dan Perlis.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kementeriannya sudah mencadangkan kepada kerajaan Kedah dan Perlis untuk mewartakan semua kawasan tanaman padi di negeri masing-masing.

Katanya, cadangan itu juga sudah dikemukakan di dalam Mesyuarat Tanah Negara, baru-baru ini dalam usaha kementerian menangani masalah itu.

“Seawal memasuki kementerian ini, saya menyatakan kebimbangan saya terhadap isu pengurangan kawasan jelapang padi dan cadangan sudah dibawa ke Mesyuarat Tanah Negara.

“Pihak negeri juga (kerajaan Kedah dan Perlis) perlu ambil perhatian dan saya sudah memberi cadangan disebabkan tanah di bawah hak negeri, kerajaan negeri perlu ada usaha mewartakan semua kawasan sawah.

“Faktor ancaman penyakit saya lihat hanya sementara dan tidak memberi kebimbangan yang besar terhadap kawasan tanaman di jelapang padi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Keusahawanan dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Johor Corporation (JCorp), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, untuk masa hadapan dalam usaha menangani pengurangan keluasan sawah padi, kementerian akan menitik berat dan menggunakan internet untuk segala-galanya (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).

“Seterusnya untuk mengatasi pengurangan sawah padi, kita akan meningkatkan penggunaan teknologi, IoT dan AI supaya kepelbagaian (jenis padi) dapat dihasilkan,” katanya.

Laporan eksklusif BH hari ini melaporkan industri padi di negeri jelapang padi dianggap berada dalam keadaan kritikal berikutan isu pengeluaran beras yang tidak mencapai tahap ditetapkan, peningkatan kos pesawah dan ancaman penyakit yang serius.

Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, jumlah pesawah terus menurun dan kawasan tanaman di Kedah-Perlis bakal mengecil sehingga menjejaskan pengeluaran padi.

Kedah, iaitu negeri jelapang padi menyumbang kira-kira 40 peratus pengeluaran beras negara.

Berita Harian X