Ahad, 20 Januari 2019 | 12:01pm
NEGARA memerlukan tiga juta tan beras setahun untuk menampung permintaan, tetapi kita cuma mampu mengeluarkan hanya kira-kira dua juta tan. - Foto Sharul Hafiz Zam

EKSKLUSIF: Jelapang padi negara terancam

ALOR SETAR: Negara memerlukan tiga juta tan beras setahun untuk menampung permintaan, tetapi kita cuma mampu mengeluarkan hanya kira-kira dua juta tan.

Ini bermakna, Malaysia terus bergantung kepada beras import terutama dari Vietnam dan Thailand. Keadaan ini agak berbahaya andai negara pembekal menamatkan penjualan mereka atau menaikkan harga beras.

Keadaan ini juga kritikal apabila Kedah, iaitu negeri jelapang padi yang menyumbang kira-kira 40 peratus pengeluaran beras negara, berdepan pelbagai masalah yang melanda industri padi ketika ini, sehingga menjejaskan pengeluaran beras negara.

Industri padi di negeri ini dianggap berada dalam keadaan kritikal berikutan isu pengeluaran beras yang tidak mencapai tahap ditetapkan, peningkatan kos pesawah dan ancaman penyakit yang serius.

Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, jumlah pesawah terus menurun dan kawasan tanaman di Kedah-Perlis bakal mengecil sehingga menjejaskan pengeluaran padi pada masa hadapan.


KELUASAN sebenar sawah di Kedah-Perlis didakwa tidak sama seperti direkodkan. - Foto Sharul Hafiz Zam

Banyak bergantung beras import

Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Othman Aziz, berkata secara purata rakyat Malaysia makan kira-kira 78 kilogram (kg) setahun, menyebabkan negara memerlukan tiga juta tan beras setahun bagi menampung permintaan itu.

Bagaimanapun katanya, pengeluaran beras negara ketika ini hanya kira-kira dua juta tan setahun mengakibatkan Malaysia banyak bergantung kepada beras import.

“Dari sudut keselamatan makanan, Malaysia berada dalam keadaan agak berbahaya berikutan kebergantungan kita kepada beras import kerana negara pembekal boleh menamatkan penjualan mereka pada bila-bila masa.

“Malaysia mungkin berjaya menjadi negara maju dan kita selesa mengimport beras, namun paling ditakuti apabila kita ada duit bagi membeli beras, tetapi tiada negara mahu menjualnya kerana mereka juga ada rakyat yang perlu dijaga,” katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.

Othman berkata, ketika ini ada kira-kira 54,000 pesawah di kawasan Kedah-Perlis yang hanya mampu mengeluarkan kira-kira satu juta tan beras berikutan pelbagai masalah dihadapi.


TINJAUAN mendapati ada sawah dijadikan kawasan perumahan dan projek pembangunan di sekitar Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Perlu bantu pesawah

“Terus-terang saya katakan jika kerajaan tidak bantu pesawah dan mahu jadikan industri padi sama seperti di Indonesia, Thailand dan Vietnam yang tidak mendapat subsidi, maka pesawah akan tidak menanam padi lagi.

“Ini kerana kos pengeluaran padi dan mengurus sawah sangat tinggi. Jika kerajaan tidak memandang serius masalah ini dan enggan membantu pesawah, kita bimbang industri padi terus menjadi malap,” katanya.

Mengulas lanjut, pertumbuhan jumlah penduduk yang meningkat setiap tahun juga memaksa kawasan sawah dibangunkan bagi tujuan pembangunan terutamanya di kawasan bandar menyebabkan kawasan penanaman padi semakin mengecil.

“Di atas kertas terdapat kira-kira 100,000 hektar kawasan sawah di Kedah-Perlis ketika ini, namun hakikat sebenar jumlah itu tidak tepat kerana ada kawasan sudah yang dijadikan taman perumahan atau diguna untuk tujuan lain.

“Berlaku juga kejadian apabila sawah diambil bagi tujuan pembangunan tidak digantikan dengan sawah, sebaliknya diganti dengan tanah pertanian lain seperti tanaman getah atau sawit,” katanya.

Keadaan ini jelasnya, akan menyebabkan kawasan sawah terus mengecil, sedangkan pengeluaran padi di Kedah-Perlis mewakili kira-kira 40 peratus pengeluaran beras keseluruhan negara.

Berita Harian X