Sabtu, 19 Januari 2019 | 1:01pm
PEMBANTU Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib diiringi Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam beramah mesra dengan peserta pada program Kayuhan Amal Kastam Sempena Hari Kastam Sedunia ke-37 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
PEMBANTU Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib diiringi Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam beramah mesra dengan peserta pada program Kayuhan Amal Kastam Sempena Hari Kastam Sedunia ke-37 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kastam pasang 76 mesin pengimbas di pelabuhan, lapangan terbang

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam proses mendapatkan 76 mesin pengimbas untuk diletakkan di pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam, berkata ia bagi memudah dan mempercepatkan proses pelepasan di pintu keluar masuk Kastam terutama di pelabuhan.

“Jabatan Kastam sedang mendapatkan 76 mesin pengimbas di mana kebanyakan mesin ini adalah jenis ‘drive thru’ (pandu lalu). Bermakna kontena itu tidak perlu dibuka atau diperiksa, memadai dengan melalui pintu yang mana mesin itu akan mengimbas dan akan melihat imej barang yang ada dalam kontena.

“Ia bukan saja akan mempercepatkan proses pelepasan (kontena) malah akan meningkatkan tahap pematuhan kalau ada penyeludup membawa barang terlarang atau barang bercukai. Kita akan dapat lihat imejnya dengan lebih jelas,” katanya ketika selepas program Kayuhan Amal Kastam Sempena Hari Kastam Sedunia ke-37 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Madrim Tasan.

Subromaniam berkata demikian ketika diminta mengulas ucapannya sebelum itu berhubung pejabat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) yang beroperasi di pintu keluar masuk sempadan perlu memperkenalkan pendekatan yang lebih dinamik untuk menangani isu pengurusan sempadan.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, jabatan dalam proses perolehan mesin pengimbas itu dalam tahun ini.

“Jabatan dalam proses perolehan mesin ini, yang mana satu tender terbuka akan dibuat dalam masa terdekat dan perolehannya juga dalam masa terdekat ini.

“Ini termasuk tujuh mesin pengimbas di Sabah iaitu di pelabuhan Sepanggar di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Selain itu, di lapangan terbang juga kita akan dapatkan mesin pengimbas bagasi dan badan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di negara kita,” katanya.

Perolehan mesin pengimbas itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ketibaan kargo di Malaysia terpaksa melalui 100 peratus proses pengimbasan.

Sementara itu, mengenai program itu, Subromaniam berkata, program itu adalah antara yang dianjurkan di seluruh negara sempena sambutan Hari Kastam Sedunia ke-37 yang akan disambut pada 26 Januari setiap tahun.

“Jumlah penyertaan melebihi 1,000 orang dan kutipan kira-kira RM60,000 akan disumbangkan kepada Sekolah Pendidikan Khas Kurnia Kasih, Kota Kinabalu.

“Program ini bertujuan merapatkan lagi hubungan kita dengan rakyat dan pihak perniagaan selaras dengan hasrat kerajaan dan diharap rakyat lebih memahami konsep percukaian yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Berita Harian X