Jumaat, 18 Januari 2019 | 6:13pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut Presiden Senegal, Macky Sall (kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Leopold Sedar Senghor di sini pada Rabu. Pendana Menteri Tun Dr Mahathir Mohd akan mengetuai delegasi Malaysia ke Third International Conference on the Emergence of Africa (ICEA) yang dijadualkan berlansung pada 17 Januari. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut Presiden Senegal, Macky Sall (kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Leopold Sedar Senghor di sini pada Rabu. Pendana Menteri Tun Dr Mahathir Mohd akan mengetuai delegasi Malaysia ke Third International Conference on the Emergence of Africa (ICEA) yang dijadualkan berlansung pada 17 Januari. - Foto BERNAMA

Tun M tinggalkan kesan positif untuk pembangunan Afrika

DAKAR, Senegal: Lawatan kerja Tun Dr Mahathir Mohamad ke Senegal bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ketiga (ICEA-III) di sini, walaupun singkat tetapi amat signifikan, terutama kepada syarikat dan ahli perniagaan Malaysia.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang disambut sendiri oleh Presiden Macky Sall di Lapangan Leopold Sedar Senghor, menunjukkan penghormatan tinggi kerajaan republik terhadap Dr Mahathir, sekali gus memberi petunjuk positif terhadap peranan Malaysia di benua ini.

Kini, negara Afrika yang kaya dengan pelbagai sumber, mengalami banyak perubahan, terutama dari segi infrastruktur yang membolehkan sektor perdagangan dan pelaburan dilakukan dengan lebih berkesan.

Ketika ini, penyertaan syarikat Malaysia di republik ini amat sedikit, antaranya Iris Corporation Malaysia yang mengeluarkan kad pengenalan bagi warga Senegal yang mengandungi maklumat pengundi.

Malaysia dan Senegal yang menjalin hubungan diplomatik selama 33 tahun, sudah membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan.

Nilai perdagangan antara Malaysia dan Senegal pada 2017 adalah berjumlah RM372.6 juta dengan nilai eksport negara sebanyak RM364.5 juta dan nilai import dari Senegal sebanyak RM8.1 juta.

Komponen eksport Malaysia ke Senegal merangkumi kelapa sawit dan produk berasaskan kelapa sawit, produk pertanian dan makanan, manakala komponen import dari Senegal merangkumi produk kapas, baja dan mineral, bahan dan produk kimia serta bahan berasaskan besi.

Tetapi pada masa sama, syarikat dari Eropah, China dan Turki sudah banyak membuat pelaburan di Afrika kerana benua ini mempunyai potensi yang amat besar.

Justeru, syarikat Malaysia wajar merebut peluang pelaburan dan perdagangan di Afrika kerana inilah masa terbaik ketika Dr Mahathir iaitu tokoh yang amat dihormati pemimpin benua ini sekali lagi mentadbir negara.

Umum mengetahui Perdana Menteri mempunyai hubungan rapat dan dihormati pemimpin Afrika kerana ketika mentadbir negara sejak 1981 hingga 2003, beliau memperjuangkan suara negara selatan. Ini yang sangat dikagumi dan dihormati pemimpin negara itu.

Walaupun pemimpin negara Afrika yang sezaman dengan Dr Mahathir tidak lagi menjadi ketua negara atau ketua kerajaan, pemimpin baharu mengenali dan menghormati beliau. Malah, yang lebih penting lagi negara Afrika mahu menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan.

"Saya dijemput menghadiri persidangan ini (ICEA-II) kerana mereka masih memandang Malaysia sebagai satu contoh...satu model yang baik, yang mereka ingin belajar dari Malaysia," kata Dr Mahathir yang menyatakan hubungan dengan Afrika perlu dirapatkan semula selepas 15 tahun kurang diberi perhatian.

Senegal sendiri sedang membina bandar baharu, Diamniadio, sebuah projek bandar di timur Dakar yang bertujuan mengurangkan kesesakan di ibu negara dan juga sebahagian daripada strategi nasional untuk menggalakkan pertumbuhan nasional.

Lebih menarik, Diamniadio menjadikan Putrajaya sebagai model dan apabila siap kelak, pusat pentadbiran kerajaan republik ini akan berpindah ke bandar baharu ini.

Justeru, pelabur Malaysia wajar mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke Afrika dan boleh menjadikan Senegal sebagai pintu masuk ke benua ini.

Kesediaan kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir untuk merapatkan semula hubungan Malaysia-Afrika perlu dijadikan sandaran oleh pelabur Malaysia untuk memulakan langkah baharu ke benua Afrika.

Berita Harian X