Khamis, 17 Januari 2019 | 9:42pm
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada persidangan ICEA-III di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio, hari ini. Turut hadir, Presiden Senegal, Macky Sall (kiri). - Foto BERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada persidangan ICEA-III di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio, hari ini. Turut hadir, Presiden Senegal, Macky Sall (kiri). - Foto BERNAMA

Malaysia cepat membangun kerana aman, stabil - Tun M

DAKAR, Senegal: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi pengalaman dan kejayaan transformasi ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian dengan pemimpin Afrika pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ketiga (ICEA-III).

Memulakan sesi dialog peringkat tertinggi bersama beberapa ketua negara Afrika dan ahli panel lain, Perdana Menteri berkata, Malaysia bertuah kerana mencapai kemerdekaan secara rundingan, bukannya pertumpahan darah.

Berasaskan daripada hakikat itu, katanya, pemimpin Malaysia memulakan pembangunan negara dengan meneruskan pentadbiran dan memperkenalkan dasar memenangi hati dan minda rakyat.

“Oleh sebab itu Malaysia terus aman dan stabil sekali gus membolehkan negara dibangunkan dengan lebih cepat dan terus membangun,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun ketika itu Malaysia tidak mempunyai kepakaran dan teknologi untuk membangunkan negara, ia tidak menjadi masalah kerana kerajaan mempelawa pelabur asing untuk menanam modal.

Katanya, menerusi Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelbagai teknologi dan kepakaran dibawa masuk ke Malaysia untuk pembangunan dan industrilisasi negara.

Sehubungan itu, Dr Mahathir percaya negara Afrika juga mampu muncul sebagai negara membangun walaupun tiada kepakaran dan teknologi.

“Tiada masalah jika tiada kepakaran teknikal kerana boleh bawa masuk pelabur asing. Ini akan menguntungkan negara,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai prinsip demokrasi yang dipegang oleh sesebuah negara.

Dalam konteks ini, katanya, sesebuah kerajaan perlu menghormati undi rakyat apabila mengadakan pilihan raya.

Beliau berkata, jika kerajaan sedia ada tidak lagi mendapat mandat, mereka perlu menyerahkan kuasa kepada pihak yang mendapat kepercayaan rakyat supaya kerajaan baharu dapat mentadbir dengan lancar.

Katanya, proses ini akan menjadikan negara stabil dan melaksanakan usaha untuk memajukan ekonomi.

Ahli panel lain termasuk Presiden Senegal, Macky Sall; Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita; Perdana Menteri Ivory Coast, Amadou Gon Coulibaly.

Berita Harian X