Khamis, 17 Januari 2019 | 12:55pm
Tun Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Presiden Senegal, Macky Sall di Istana Presiden, dekat Dakar. - Foto BERNAMA
Tun Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Presiden Senegal, Macky Sall di Istana Presiden, dekat Dakar. - Foto BERNAMA

ICEA-III: Dr M hadir sesi dialog dengan pelbagai pihak

DAKAR: Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengambil bahagian dalam beberapa siri sesi dialog membabitkan ketua-ketua negara Afrika, ahli perbankan, eksekutif perniagaan dan lain-lain pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika kali yang ke-3 (ICEA-III) yang dirasmikan pembukaannya di sini hari ini.

Sorotan menarik persidangan hari ini, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) dari 17-19 Jan, adalah perbincangan panel peringkat tinggi melibatkan Perdana Menteri Malaysia itu selain presiden negara-negara Burkina Faso, Ivory Coast, Kenya dan Rwanda.

Dr Mahathir diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan dari luar Afrika yang diundang untuk menghadiri ICEA-III, yang memaparkan tema utama ‘Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman’.

Beliau juga dijadual untuk berkongsi buah fikiran pada segmen kedua di bawah tajuk menggalakkan sektor swasta menjadi enjin penggerak kemunculan manakala segmen ketiga akan menyentuh aspek keterangkuman sebagai jaminan kepada kemapanan dinamik kemunculan.

Presiden Senegal Macky Sall dijadual menyertai segmen ketiga itu bersama-sama Dr Mahathir.

Segmen keempat dan terakhir pula akan menyaksikan Dr Mahathir berkongsi pandangan mengenai perkongsian inovatif antara sektor wasta dan awam mengenai kemunculan.

ICEA-III menyasarkan untuk memperhalusi lagi perbahasan mengenai ketahanan pertumbuhan dan keterangkuman dalam pelan kemunculan Afrika menerusi, khususnya peletakan pada kedudukan lebih baik perkongsian antara sektor swasta dan kerajaan.

Dalam kenyataannya terdahulu, Kementerian Luar berkata persidangan ini memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk mempamerkan kejayaan perkongsian antara sektor awam dan swasta di Malaysia.

Perdana Menteri juga dijangka akan berkongsi idea dan wawasan Malaysia mengenai perkongsian ekonomi dan perdagangan antara negara-negara di Asia Tenggara dengan negara-negara Afrika yang muncul.

Dalam lawatan dua hari itu, Dr Mahathir diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mereka dijangka berlepas meninggalkan Senegal lewat hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X