Rabu, 16 Januari 2019 | 9:55pm
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Tomei Consolidated Bhd, Datin Nonadiah Abdullah (kanan) bersama Pengurus Besar Komunikasi Komersial Strategik NSTP, Jeannie Leong (dua kanan) sempena gimik perasmian Pameran Ingenious Soul di Galeri Prima NSTP. - Foto Luqman Hakim Zubir

Galeri Prima anjur resepsi bagi 'Ingenious Soul'

KUALA LUMPUR: Galeri Prima hari ini menganjurkan majlis resepsi bagi pameran 'Ingenious Soul' yang berlangsung sekarang.

Majlis itu dihadiri 10 pelukis yang mana hasil karya seni mereka kini dipamerkan di galeri terbabit selain keluarga dan rakan mereka serta peminat seni.

Pelukis terbabit adalah Ali Akbar Othman, Artjamila, Elly Nor Suria, Ismail Baba, Khairulsani Ismail, Lyna Khairi, Nancy Lua Ching Sing, Widodo Soerono, Yeanni Koo dan Zurin Shaari.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Tomei Consolidated Bhd, Datin Nonadiah Abdullah, yang merasmikan acara itu, berkata pengunjung pameran itu boleh menghayati karya seni yang dipamerkan.

"Membesar dalam suasana persekitaran indah, ditambah dengan kepelbagaian rona kehidupan manusia, kita boleh merumuskan bahawa di zaman muda kita, suasana persekitaran inilah yang membantu pembentukan perwatakan kita sebagai manusia sekarang.


Pengunjung yang hadir melihat sebahagian lukisan pada Pameran Ingenious Soul di Galeri Prima NSTP. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Menjadi satu kebanggaan bahawa akar umbi di kampung memainkan peranan penting dalam membentuk kita dan generasi lain.

"Semua pedoman kehidupan ini berjaya diterjemahkan pelukis menerusi prisma warna akrilik dan pemandangan landskap yang dramatik.

"Menyaksikan pameran ini bermakna menghargai kehidupan penduduk Malaysia yang suatu masa dulu meraikan kehidupan dengan penuh kebanggaan," katanya yang turut menyifatkan kumpulan karya seni itu bukan saja cantik tetapi indah lagi menakjubkan.

Hadir sama, Pengurus Besar Komunikasi Komersial Strategik NSTP Jeannie Leong.

Pameran daripada 10 Januari sehingga 25 Januari itu menampilkan 92 karya seni dihasilkan 10 pelukis.

Pengurus Galeri Prima, Azlynn Aziz, berkata semua lukisan dalam siri 'Ingenious Soul' merangkumi contoh luahan artistik yang bebas daripada kekangan amalan biasa, menampilkan luahan peribadi atau kesedaran diri yang menzahirkan kesederhanaan yang keanak-anakan.


Pengunjung yang hadir melihat sebahagian lukisan pada Pameran Ingenious Soul di Galeri Prima NSTP. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Mereka menggunakan pendekatan konvensional dan bukan konvensional supaya seiring dengan suasana seni kontemporari. Karya seni ini suci, jujur dan adalah luahan asli emosi. Pendek kata, mereka melukis dari jiwa," katanya

Pameran 'Ingenious Soul' dibuka kepada umum pada setiap hari antara jam 10 pagi hingga 6 petang, kecuali pada hujung minggu di mana pengunjung perlu membuat temu janji terlebih dulu.

Galeri Prima terletak di Balai Berita, 31, Jalan Riong, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur. Kemasukan adalah percuma dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-2724 8300.

Berita Harian X