Rabu, 16 Januari 2019 | 5:35pm
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bloomberg
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bloomberg

Dr Mahathir cipta sejarah berucap di perhimpunan Kesatuan Oxford

KUALA LUMPUR: Jumaat ini bakal mencatat sejarah baharu kepada Malaysia dan Asia Tenggara apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput serta diberi penghormatan untuk berucap di majlis perhimpunan Kesatuan Oxford yang berprestij.

Perdana Menteri berusia 94 tahun, yang dijadual berucap pada jam 4 petang waktu tempatan, bakal menjadi pemimpin Asia Tenggara yang tersenarai bersama pemimpin utama dunia yang pernah diberi penghormatan berucap dalam majlis itu.

Berkongsi maklumat itu dalam akaun Twitternya hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata beliau mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir dan Malaysia atas jemputan yang diterima Perdana Menteri itu.

Twitter Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Twitter Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang pemimpin diberikan jemputan khas oleh Oxford Union untuk berucap di ‘union’ yang penuh dengan sejarah.

“Tun M will also be the first democratically elected leader from South East Asia to be invited to speak at the esteemed Oxford Union (Tun M juga menjadi pemimpin Asia Tenggara pertama yang dipilih secara demokratik dijemput berucap pada perhimpunan Kesatuan Oxford yang sangat dihormati).

“Saya nanti-nantikan masa ini kerana saya yakin Tun M bakal membuktikan bahawa Malaysia akan menggegarkan dunia lagi sekali sebagai Harimau Asia. Tahniah Tun M dan tahniah Malaysia!” katanya.

Kesatuan Oxford adalah pertubuhan debat di bandar Oxford, England yang ditubuhkan pada 1823 dan dianggotai penuntut Universiti Oxford.

Ia adalah salah satu daripada kesatuan universiti tertua pernah diwujudkan di Britain yang mana ia bebas dari universiti dan berbeza dengan Kesatuan Pelajar Universiti Oxford.

Kesatuan Oxford mempunyai tradisi menjemput individu terkenal di dunia dalam politik, akademik dan budaya, antaranya bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan, Jimmy Carter, Richard Nixon dan Bill Clinton.

Termasuk dalam senarai itu ialah Perdana Menteri Britain, Theresa May dan bekas Perdana Menteri, Winston Churchill, Margaret Thatcher dan David Cameron.

Individu lain yang pernah dijemput ialah Dalai Lama, Malcolm X, pelakon filem AS, Morgan Freeman; pemuzik, Elton John dan Michael Jackson serta bintang bola sepak, Diego Maradona serta peninju, Manny Pacquiao.

Berita Harian X