Selasa, 15 Januari 2019 | 8:51pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto BERNAMA

Tun M berkongsi pengalaman membangun Malaysia di ICEA-III

DAKAR, Senegal: Tun Dr Mahathir Mohamad, satu-satunya pemimpin dari luar Afrika yang diberi penghormatan berkongsi pengalaman pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ke-3 (ICEA-III) semepena lawatan kerja dua hari ke republik ini yang bermula esok.

Perdana Menteri yang dijadual tiba di sini, petang esok (waktu tempatan), akan berkongsi pengalaman beliau memimpin dan membangunkan Malaysia sejak 1981 hingga 2003 dan sekali lagi memegang tampuk pentadbiran negara sejak Mei lalu, menerusi beberapa siri perbincangan pada persidangan itu.

Ini adalah julung kali Dr Mahathir menyertai persidangan dua tahun sekali yang diadakan sejak 2015, yang bertujuan memberi sokongan kepada pertumbuhan Afrika berikutan pemulihan ekonomi global selepas krisis 2016 menerusi pembangunan kapasiti bagi menyediakan dan melaksanakan pelan kemunculan, menggabung kepakaran serta mendokumentasikan amalan baik di benua ini.

Perdana Menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan pegawai Wisma Putra.

ICEA-III bertemakan "Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman" yang akan dirasmikan Presiden Senegal, Macky Sall, akan turut disertai beberapa ketua kerajaan di Afrika iaitu Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta; Presiden Burkina Faso, Roch Marc Christian Kabore, Presiden Rwanda, Paul Kagame dan Presiden Cote d'Ivoire, Alassane Ovattara.

Lebih 1,000 peserta merangkumi wakil kerajaan dan swasta dari negara Afrika, masyarakat sivil, ahli akademik dan tokoh serta pakar pelbagai sektor dari agensi antarabangsa termasuk Bank Dunia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan serta Kesatuan Afrika dijadual menyertai persidangan itu.

Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin, berkata ini adalah lawatan pertama Dr Mahathir selepas kali terakhir menyertai Sidang Kemuncak Kumpulan 15 di sini, kira-kira 27 tahun lalu.

"Perdana Menteri akan berkongsi pentas dengan ketua negara beberapa negara Afrika untuk mempersembahkan pengalaman membangun dan membawa negara ke persada antarabangsa.

"Ini yang negara Afrika mahu dengar daripada Dr Mahathir mengenai pengalaman Malaysia. Mereka sangat teruja untuk mendengarnya kerana Perdana Menteri sangat dihormati oleh negara Afrika," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sepanjang pentadbiran beliau sebelum ini selama 22 tahun, Dr Mahathir terbabit dalam pelbagai usaha memperjuangkan suara negara Selatan seperti Afrika menerusi pelbagai platform termasuk penganjuran dialog perkongsian pintar yang terbukti membantu negara di benua itu dalam menangani isu di negara masing-masing seperti berkaitan soal kemiskinan.

Bermula dengan penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995 bertemakan 'Perkongsian Pintar Bagi Kemakmuran Kerjasama Global, ia berjaya mendekatkan dan menyatukan pemimpin negara membangun. Ini menarik minat pemimpin Afrika untuk mengadakan dialog seperti itu yang membawa kepada penganjuran Dialog Antarabangsa Afrika Selatan (SAID) yang pertama kali diadakan di Kasane, Bostwana pada 1997 dan seterusnya di Swakopmund, Namibia pada 1998.

Menerusi dialog itu, pemimpin negara membangun berpeluang mengetahui cara mengatasi dan menangani masalah negara masing-masing serta mempelajari daripada Malaysia serta negara lain untuk membangunkan ekonomi masing-masing. Oleh sebab itu, penyertaan Dr Mahathir selaku pemimpin paling senior di dunia pada masa ini pada ICEA kali ini, adalah sesuatu yang amat signifikan.

Sempena ICEA-III, Perdana Menteri akan terlebih dahulu melakukan kunjungan hormat dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sall sejurus tiba di sini, esok (Rabu).

Pada hari pertama persidangan (Khamis), Dr Mahathir bersama ketua negara dan kerajaan akan menghadiri majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Presiden Senegal dan kemudiannya menyertai beberapa sesi perbincangan termasuk sesi dialog dengan ketua kerajaan negara Afrika.

Perdana Menteri kemudian akan menyertai sesi dialog berkaitan menggalakkan peranan sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan ekonomi. Antara ahli panel ialah Presiden Bank Pembangunan Afrika, Dr Akinwumi Adesina dan Ketua Pegawai Eksekutif Ethiopian Arlines, Tewolde Gebremariam.

Perdana Menteri juga akan menyertai sesi dialog berkaitan perkongsian awam swasta bagi kemunculan yang membariskan beberapa tokoh termasuk Naib Presiden Bank Dunia, Hafez Ghanem dan Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Port World, Sultan Sulayem.

Sudah tentu pengalaman, pandangan dan idea Perdana Menteri amat bernilai dan dihargai oleh pemimpin negara membangun seperti di Afrika yang masih ketinggalan dari segi pembangunan termasuk menarik penyertaan sektor swasta membangun dan menjana pertumbuhan sesebuah negara sebagaimana dilakukan beliau menerusi sepanjang mentadbir negara menerusi Dasar Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporate yang membawa kepada kejayaan negara.

Berita Harian X