Selasa, 15 Januari 2019 | 5:51pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Eizairi Shamsudin
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Eizairi Shamsudin

PM ketuai delegasi Malaysia ke ICEA

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Third International Conference on the Emergence of Africa (ICEA) di Dakar, Senegal, Khamis ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, ia adalah penyertaan sulung Perdana Menteri di ICEA sejak ia dianjurkan pada 2015.

Perdana Menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya serta pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

“Penganjuran ICEA 2019 kali ini bertemakan ‘Emergence, Private Sector and Inclusiveness’ yang akan memberi fokus kepada usaha mempromosi dan mengukuhkan lagi peranan sektor swasta dalam pelan pembangunan Afrika.

“Perdana Menteri dijadual akan menyertai ‘High Level Panel Discussion’ yang akan berlangsung selepas acara pembukaan ICEA pada 17 Januari.

“Sesi itu, yang membabitkan penyertaan Presiden-Presiden Republik Burkina Faso, Ivory Coast, Kenya, Mali, Rwanda dan Senegal, akan memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk berkongsi kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta di Malaysia.

“Selain itu, Perdana Menteri juga akan berkongsi idea dan hala tuju Malaysia dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan negara-negara membangun di Afrika,” katanya.

Menurut Wisma Putra, selain menghadiri ICEA, Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Senegal untuk membincangkan perkara berkepentingan bersama ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia – Senegal serta mempertingkatkan kerjasama dalam isu serantau dan global.

“Malaysia dan Senegal sudah menjalin hubungan diplomatik selama 33 tahun dan sudah membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan.

“Nilai perdagangan antara Malaysia dan Senegal pada 2017 adalah berjumlah RM372.6 juta (AS$86.5 juta), dengan nilai eksport negara sebanyak RM364.5 juta (AS$84.6 juta) dan nilai import dari Senegal sebanyak RM8.1 juta (AS1.87 juta).

“Komponen eksport Malaysia ke Senegal merangkumi kelapa sawit dan produk berasaskan kelapa sawit, produk pertanian dan makanan manakala komponen import dari Senegal merangkumi produk kapas, baja dan mineral, bahan dan produk kimia serta bahan berasaskan besi,” katanya.

Berita Harian X