Ahad, 13 Januari 2019 | 6:57pm
GAMBAR aksi Muhammad Syukur bersama kerbaunya dirakam jurugambar tular dalam media sosial, di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Dallah Deen tidak pernah belajar daripada jurugambar terkenal Indonesia

KUALA LUMPUR: Menggunakan nama pena sebagai pengkarya seni, Dallah Deen Photography, beliau tidak menyangka sama sekali akan menumpang tuah dan rezeki dengan pemenang pertandingan fotografi peringkat Asia iaitu Mohd Nazri Sulaiman menerusi gambarnya yang berjudul ‘Sharing Emosi’ (Berkongsi Emosi).

Gambar itu memaparkan pelajar tingkatan dua di Sekolah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, Muhammad Syukur, sebagai subjek utama duduk bersandarkan seekor kerbau di kawasan lumpur manakala sekumpulan lagi haiwan itu berkerumun di belakangnya.

Karya itu diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Kemenangan gambar itu menjadi tular dan tanpa semena-mena nama Deen turut menerima tempiasnya.

Ini kerana Deen atau nama sebenarnya, Abdullah Mohd Zain adalah orang terawal yang merakamkan gambar Syukur bersama haiwan kesayangannya itu.

Deen yang menetap di Kuala Terengganu, bekerja sebagai Pegawai Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di negeri itu menjadikan fotografi sebagai hobinya sejak tahun 2008 dan beliau mula merakamkan aksi Syukur dengan ‘rakan-rakan karibnya’ pada akhir tahun 2014.

“Saya memang kenal Syukur dan rapat dengan keluarganya. Saya merakamkan gambar Syukur untuk suka-suka saja yang kemudiannya saya muatnaik di Facebook (FB) saya. Ketika itu pengikut di FB tidak ramai hanya 400 saja tetapi sejak gambar Syukur menjadi tular, ia bertambah menjadi lebih 3,000 pengikut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menjelaskan situasi sebenar, jelas Deen: “Nazri hanya menghantar satu gambar sahaja ke pertandingan itu dan apabila ia menang, ada pihak memuatnaik sekali gambar-gambar Syukur yang saya rakam di laman sosial.”

Terkini, ada pihak mengatakan gambar-gambar indah dan unik yang dihasilkan dari lensa kamera Deen diinspirasikan daripada karya seorang jurugambar terkenal Indonesia.

“Saya difahamkan jurugambar terbabit pernah datang ke negara ini 10 tahun lalu dan ramai juga jurugambar tempatan yang belajar dengannya. Saya mengambil gambar sebagai hobi dan hanya belajar fotografi dengan kenalan yang meminati bidang sama.

“Saya tidak berhasrat untuk menjadikan fotografi satu bidang yang serius kerana saya terikat dengan kerjaya tetap. Kebiasaannya saya merakamkan gambar Syukur sekitar jam 7 hingga 8.30 dan ketika itu embun masih menitis serta matahari mula memancarkan sinarnya.

“Sebab itu setiap gambar kelihatan ada keunikan tersendiri kerana alam belum ‘terusik’,” katanya.

Menurut Deen, beliau sudahpun menjelaskan hal sebenar dalam FB yang beliau tidak mengenali atau belajar dengan jurugambar itu sekali gus tidak pernah melihat hasil kerjanya.

“Macam mana saya menjadikan karyanya sebagai sumber ilham kerana saya tidak pernah tahu dan kenal dengannya. Tetapi saya tak marah apabila ada yang beranggapan begitu kerana seni dan kreativiti boleh menjadi milik sesiapa saja. Mana tahu selepas ini kami akan bertemu di mana-mana dan berkawan atas dasar minat yang sama,” katanya.

Gara-gara tularnya gambar Syukur yang kini digelar ‘Mowgli Malaysia’, Deen dihujani pelbagai tawaran untuk mempamerkan karyanya, menyertai pertandingan dan mengambil gambar orang kahwin.

“Agak sukar untuk saya memenuhi tawaran dan permintaan itu sekarang kerana kekangan masa,” katanya.

Berita Harian X