Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:40pm
Chua Teong Huat, 67 (kiri) membuat permohonan maaf selepas rakaman videonya menghisap rokok di premis perniagaan tular dilaman sosial kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye membuat lawatan di Pasar Siang Malam, Taiping. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Chua Teong Huat, 67 (kiri) membuat permohonan maaf selepas rakaman videonya menghisap rokok di premis perniagaan tular dilaman sosial kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye membuat lawatan di Pasar Siang Malam, Taiping. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Lelaki mohon maaf selepas kutuk larangan merokok

TAIPING: “Saya minta maaf, saya menyesal dan berjanji tidak akan ulang lagi.”

Itu luahan maaf Chua Teong Huat, 67, kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, selepas klip video dia menghisap rokok di premis perniagaan Pasar Siang Malam, di sini, tular di laman sosial sejak semalam.

Teong Huat kelihatan memohon maaf secara terbuka dan bersalaman dengan Dr Boon Chye di premis berkenaan, hari ini.

Menurut Teong Huat, dia kesal dengan tindakannya itu selain video itu dirakam ketika berada dalam keadaan khayal kerana baru selesai minum minuman keras bersama rakan.

Video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan Teong Huat yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan larangan merokok, berkuatkuasa 1 Januari lalu, termasuk di kawasan yang tidak berhawa dingin.

Dalam video itu, Teong Huat menyatakan dia bersetuju larangan merokok di premis berhawa dingin namun tidak dapat menerima larangan itu dilakukan di premis terbuka termasuk kedai makan.

Sementara itu, Dr Boon Chye menegaskan kes itu selesai dan tiada tindakan diambil pihaknya selepas pelaku memohon maaf secara berhadapan dan menyesal dengan tindakannya itu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mencabar undang-undang yang telah dikuatkuasakan kerajaan itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tiga kanan) menunujukkan logo larangan merokok ketika membuat lawatan di Pasar Siang Malam,Taiping. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tiga kanan) menunujukkan logo larangan merokok ketika membuat lawatan di Pasar Siang Malam,Taiping. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Dalam perkembangan lain, sejumlah 3,808 premis makanan di Perak dikesan gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok selepas penguatkuasaan itu dilaksanakan pada 1 Januari lalu.

“Jumlah itu menunjukkan 60.7 peratus daripada 6,265 premis yang diperiksa gagal berbuat demikian dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara enam bulan jika disabit kesalahan, sekiranya masih terus tidak mempamerkannya.

“Pada peringkat awal ini kita akan mengeluarkan notis amaran terhadap mereka untuk memasang papan tanda di premis masing-masing,” katanya pada sidang media di Pasar Siang Malam di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 340 pegawai kesihatan negeri menjalankan penguatkuasaan pendidikan dengan mengedar lebih 3,809 risalah berkaitan.

“Jabatan Kesihatan Perak telah mengeluarkan 86 notis amaran kepada perokok yang didapati merokok di tempat makan.

“Pegawai penguatkuasaan akan terus melawat dan memantau premis makanan dan dalam tempoh sehingga Jun ini, kami akan menumpukan program pendidikan agar rakyat dapat mematuhi larangan ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pengusaha premis makanan bahawa perniagaan mereka terjejas selepas larangan merokok dikuatkuasakan, Dr Boon Chye yakin perkara itu hanya sementara dan yakin perniagaan mereka akan pulih sepenuhnya dalam tempoh waktu tertentu.

Berita Harian X