Jumaat, 11 Januari 2019 | 1:13pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Program Out Reach DRsforALL, di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), hari ini. - Foto Rosdan Wahid
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Program Out Reach DRsforALL, di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Tempoh peralihan perokok menyesuaikan diri bersifat sementara

GOMBAK: Perokok tegar masih berada pada peringkat peralihan terhadap pelaksanaan larangan merokok di premis makanan, namun tempoh berkenaan dijangka hanya bersifat sementara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pelbagai reaksi diterima berkenaan perkara ini namun pihaknya melihat ia lebih terjurus ke arah positif.

Katanya, bagi pihak restoran yang terkesan dengan keadaan ini juga tidak perlu bimbang kerana ia hanya satu tempoh peralihan bagi perokok ini untuk membiasakan diri dengan budaya baru iaitu tidak merokok di premis makanan.

“Keadaan ini akan kembali normal kerana perokok sudah terbiasa dengan budaya minum teh tarik dan merokok, justeru pelaksanaan kawasan larangan merokok ini akan menggalakkan gaya hidup lebih sihat.

“Kami mendengar luahan perokok yang kesal dengan keadaan ini, namun masyarakat yang tidak merokok ini lebih berhak untuk hidup dalam keadaan bebas asap rokok.

“Bagi perokok itu sendiri, mereka perlu berfikiran terbuka kerana hanya 23 kawasan saja yang diwartakan sebagai larangan merokok termasuk premis makanan, pejabat kerajaan, tandas dan institusi pendidikan tinggi,” katanya selepas merasmikan Program Out Reach DRsforALL, di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga menegaskan kesan ekonomi terhadap industri tembakau tidak sebesar kerajaan menanggung kos perubatan berhubung penyakit berpunca dari tabiat merokok.

“Kita ambil maklum berkenaan pihak industri yang membayar cukai rokok kepada kerajaan, namun kita mahu menegaskan kos perubatan disebabkan rokok adalah lebih tinggi.

“Kesihatan masyarakat adalah lebih utama maka pelaksanaan ini perlu berterusan.

“Disamping itu, kerajaan juga sedang meneliti beberapa kawasan untuk diperluaskan larangan merokok, bagaimanapun ia memerlukan perbincangan pelbagai pihak,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, bagi tempoh enam bulan pertama Kementerian Kesihatan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun sebaliknya hanya notis amaran akan dikeluarkan kepada pesalah.

Berita Harian X