Khamis, 10 Januari 2019 | 5:53pm
Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto Aizuddin Saad
Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto Aizuddin Saad

Tanggungjawab bahasa lebih berat menanti DBP

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran mengetuai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Ketua Pengarah ke-12, membawa tanggungjawab besar dalam memartabatkan isu bahasa dan sastera.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata DBP di bawah teraju Abang Sallehuddin perlu berperanan dalam menyatukan kepelbagaian bahasa, iaitu isu yang paling kerap dibangkitkan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu.

Meskipun mengakui tugas itu bukanlah termaktub melalui Akta DBP, Zainal Abidin berkata, badan bahasa itu perlu menunjukkan peranannya dalam menyatukan kepelbagaian berkenan.

Beliau berkata, penyatuan kepelbagaian bahasa itu perlu berlaku melalui bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DBP sebagai badan bahasa utama di negara ini perlu menunjukkan bagaimana ia dapat berfungsi untuk menyatukan kepelbagaian itu.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran. - Foto Saifullizan Tamadi
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran. - Foto Saifullizan Tamadi

“Usaha ini sudah digerakkan DBP sejak Abang Sallehuddin memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP melalui Majlis Sastera Pelbagai Kaum tetapi usaha itu perlu kita pertingkatkan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, negara ini sudah mengecap kemerdekaan lebih 60 tahun tetapi masih menghadapi masalah untuk mencari wadah sesuai untuk pembinaan bangsa Malaysia.

“GAPENA berpendapat bahasa Melayu perlu sebagai bahasa kebangsaan yang digunakan untuk membentuk perpaduan dan inilah perkara pokok yang menjadi tanggungjawab DBP,” katanya.

Zainal Abidin turut berharap tiada campur tangan politik membabitkan isu bahasa kebangsaan dan DBP diberi ruang untuk bergerak bebas dalam mempertingkatkan pembangunan bahasa dan sastera kebangsaan tanah air

“Kita juga tidak mahu lagi mendengar apabila isu bahasa kebangsaan dibangkitkan, ia dianggap sebagai rasis. Itu satu kenyataan yang amat mundur,” katanya.

Berita Harian X