Rabu, 9 Januari 2019 | 6:41pm
DZULKEFLY Ahmad. - NSTP/Adzlan Sidek
DZULKEFLY Ahmad. - NSTP/Adzlan Sidek

Kerajaan tidak akan berganjak laksana larangan merokok

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berganjak dengan pelaksanaan larangan merokok di premis makanan meskipun mendapat bantahan daripada golongan perokok tegar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan larangan itu akan dikuat kuasa dengan lebih baik selepas ini.

“Sudah pasti kita tidak akan berganjak dengan larangan ini. Kita akan mendepani tentangan-tentangan ini dan kita juga tahu ada semakan kehakiman berhubung ini.

“Tetapi kita juga ada pihak Peguam Negara dan pakar perundangan untuk membantu kita di kementerian dalam mempertahankan serta menjamin kita untuk tidak berganjak daripada pendirian ini,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata dengan penguatkuasaan larangan itu yang sudah melepasi tempoh seminggu, kerajaan sudah memperoleh sokongan serta dukungan sangat baik daripada semua pihak meskipun wujud tentangan daripada golongan perokok.

“Kementerian yakin langkah ini akan membawa kesan positif ke arah usaha menangani penularan penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 30,548 premis sudah dilawati penguat kuasa, manakala sejumlah 13,724 amaran dikeluarkan.

“Bilangan risalah yang diedar sebanyak 76,274 dan 75,280 orang didekati dalam usaha memberikan pendidikan berkaitan soal rokok,” katanya.

Ditanya sama ada kementerian akan mempertimbangkan cadangan membenarkan perokok merokok di premis selepas jam 10 malam, dr Dzulkefly berkata cadangan itu langsung tidak dipertimbangkan kerana ia akan dilihat satu tindakan ke belakang.

Mengenai cadangan pihak restoran untuk menyediakan tempat khas merokok, beliau berkata ia bergantung kepada kreativiti pengusaha premis masing-masing selagi tempat itu dibuat sejauh tiga meter dari premis mereka.

Mengulas cadangan untuk mengurangkan kandungan nikotin rokok, beliau berkata usaha untuk menangani ketagihan rokok adalah sesuatu yang baik tetapi kementerian masih belum mempunyai sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata kerajaan Sabah bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan.

“Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan pihak kerajaan Sabah semalam dan negeri itu sudah bersetuju dan kaedah pelaksanaan kita diserahkan kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, Sabah menggunakan haknya berasaskan ordinan kerajaan tempatan negeri untuk menangguhkan pelaksanaan larangan merokok di 23 tempat yang diwartakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata pelaksanaan larangan merokok perlu diteliti secara mendalam kerana ia membabitkan kedatangan pelancong.

Sehingga kini, Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang belum melaksanakan larangan itu.

Berita Harian X