Jumaat, 4 Januari 2019 | 5:56pm
DR Xavier Jayakumar bersama Amirudin Shari menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air berhad (PAAB) Abdul Hadi Ali (duduk,kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Tan Yew Chong (duduk,dua,kiri), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya (duduk,dua,kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman (duduk,kanan) pada Majlis MoU Tambahan Ketiga kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

Air Selangor operator tunggal perkhidmatan air mulai 1 April 2019

PUTRAJAYA: Bermula 1 April tahun ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia selepas selesainya proses penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu melalui perjanjian tambahan ketiga kepada perjanjian utama penstrukturan semula industri berkenaan yang ditandatangani hari ini, di sini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata di bawah perjanjian yang ditandatangani itu, Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersetuju untuk menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion bagi membantu Air Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

"Kita harap tiada lagi penangguhan. Saya tidak rasa akan ada sebarang halangan kerana semuanya sudah selesai, jumlah pembayaran sudah dipersetujui dan mendapat kelulusan Kabinet untuk PAAB membeli aset daripada SPLASH dan memajaknya semula kepada Air Selangor.

"Semua kertas kerja sudah selesai dan mendapat kelulusan. Kita hanya perlu melalui proses untuk mewujudkan model perniagaan dan ditandatangani, seterusnya semua aset diserahkan sepenuhnya kepada Air Selangor sebelum 1 April," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata melalui persefahaman dan kerja erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, Air Selangor berjaya melaksanakan obligasinya di bawah perjanjian utama yang ditandatangani pada 2014 untuk mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan SPLASH.

"Kejayaan pengambilalihan empat syarikat konsesi air di Selangor oleh Air Selangor membolehkan Air Selangor beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikawal selia melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655)," katanya.

Berita Harian X