Selasa, 1 Januari 2019 | 7:20pm
- Gambar hiasan

Tidak perlu larangan merokok di kedai dobi

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan Kementerian Kesihatan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok membabitkan premis kedai dobi dan hotel.

Persatuan Dobi Kuala Lumpur dan Selangor bagaimanapun bersedia untuk berbincang bagi membantu meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan masyarakat.

Presidennya, Tham Ah Wah, berkata sesi dialog atau perbincangan meja bulat dapat membantu meningkatkan persefahaman antara kedua belah pihak sebelum pewartaan terbabit dilaksanakan.

“Pada pandangan saya, tidak perlu adanya penguatkuasaan kerana kebanyakan pelanggan memang tidak merokok di premis-premis terbabit.

“Berdasarkan pemerhatian, pelanggan yang datang ke kedai dobi layan diri kebiasaannya akan merokok di bahagian luar premis kerana mereka khuatir bau asap rokok akan melekat pada pakaian yang sudah dibasuh dan dan dilipat...mereka ada kesedaran diri.

“Lebih-lebih lagi, sesetengah kedai dobi ada memasang pendingin hawa dan atas kesedaran sendiri, perokok tidak akan merokok di dalam premis...bagaimanapun kita boleh berkongsi idea dan pandangan dengan kementerian sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ah Wah berkata, hanya segelintir pengusaha dobi memasang papan tanda larangan merokok sebagai peringatan untuk pelanggan.

“Memang benar, tidak semua premis ada papan tanda namun pelanggan sentiasa diingatkan dari masa ke semasa dan pengusaha dobi tidak ada masalah untuk menangani isu ini,” katanya,

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan larangan itu kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok.

Tinjauan mendapati masih ada perokok yang merokok di kedai dobi dan hotel sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai masalah kesihatan dalam kalangan perokok pasif.

Berita Harian X