Selasa, 1 Januari 2019 | 5:16pm

Larangan merokok di sembilan premis awam ibarat hadiah tahun baharu

KUALA LUMPUR: Pewartaan larangan merokok di sembilan premis awam berkuat kuasa 1 Januari 2019 disifatkan hadiah tahun baharu yang sekian lama dinantikan.

Penjawat swasta, Julieza Norziela Jaafar, 30, berkata selama ini berdepan kesukaran dalam memilih tempat makan yang tidak menyediakan kawasan merokok.

Katanya, cabaran itu terpaksa diharungi untuk memastikan dua anaknya tidak berdepan risiko masalah kesihatan, khususnya membabitkan paru-paru angkara asap rokok.

“Sebagai ibu, pewartaan larangan merokok akan beri impak positif, terutama kepada kesihatan anak saya yang lebih baik kerana sebelum ini mana-mana pun dipenuhi kepulan asap rokok.

“Selain meningkatkan kualiti udara di premis awam, saya tidak perlu bersusah payah cari kedai makan yang tidak menyediakan tempat merokok.

“Sekarang, saya bebas pergi makan dengan bawa anak ke mana saja,” katanya kepada pemberita sambil menzahirkan penghargaan terhadap usaha Kementerian Kesihatan, hari ini.

Larangan merokok di sembilan premis awam, berkuat kuasa hari ini memperuntukkan mana-mana individu yang ingin berbuat demikian perlu berada sekurang-kurangnya tiga meter daripada kawasan diwartakan.

Bagaimanapun, selari pendekatan mendidik berbanding menghukum, Kementerian Kesihatan memperuntukkan tempoh enam bulan yang hanya menyaksikan perokok diberikan amaran lisan jika masih gagal mematuhi perintah larangan.

Meskipun kotak rokok jelas kelihatan di atas meja makan, Saiful Anwar Osman, ketika ditemui menyifatkan perintah larangan dilaksanakan kerajaan berupaya membantunya mengurangkan tabiat tidak sihat terbabit.

Mengakui pernah berhenti selama empat tahun sebelum kembali terjebak dengan rokok, Saiful, 54, berkata jarak tiga meter yang digariskan dalam perintah larangan terbabit berkemungkinan menjadi pemangkin ke arah usaha mengurangkan ketagihan.

“Selalu kita lepak kedai mamak, mesti habis beberapa batang, tapi selepas kena bangun dan berada tiga meter dari kedai makan, mungkin mampu kurangkan kadar pengambilan serta ketagihan.

“Sebab kita jadi malas nak bangun ke sana semata-mata nak merokok,” katanya sambil mengukir senyuman dan menuding ke arah deretan pokok berdekatan restoran.

Lengkap berpakaian sukan, Daphne Lee Ming Siew, yang baru selesai menyertai larian pula mahu kerajaan mengubah jarak boleh merokok dari premis awam dinaikkan kepada lima meter.

Katanya, pindaan itu perlu bagi memastikan asap rokok yang lazimnya mudah ditiup angin tidak terus menusuk hidung orang lain di premis awam, sekali gus mengundang risiko kesihatan.

“Sepatutnya lima meter, bukan tiga meter kerana angin masih akan bawa asap busuk itu sampai ke tempat makan,” katanya.

Penjawat swasta, Jenny Lam Pei Yi, 37, yang gembira dengan pewartaaan larangan itu menyifatkan ia berupaya mendidik golongan perokok untuk menghormati sensitiviti dan isu kesihatan orang lain.

“Sangat gembira kerana setiap kali hidu asap, saya akan rasa sesak nafas. Sekarang saya boleh menikmati makanan di kedai tanpa perlu risau apa-apa,” katanya.

KELIHATAN papan tanda larangan merokok jelas terpampang pada premis makanan ketika tinjauan NSTP di premis makanan sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X