Selasa, 1 Januari 2019 | 1:07pm
DR Dzulkefly (dua dari kanan) menyerahkan pelekat larangan merokok kepada pemilik kedai premis makanan Muhammad Riyasutin (kanan) pada Program Tinjauan Mesra Tempat Larangan Merokok. - Foto BERNAMA

Larangan merokok akan diperluas ke kedai dobi, hotel

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok dalam tempoh terdekat, membabitkan premis kedai dobi dan hotel di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata larangan berkuat kuasa 1 Januari 2019 itu ketika ini hanya tertakluk kepada sembilan jenis premis di tempat awam.

Hasil maklum balas pelbagai pihak, katanya, kementerian mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan larangan itu kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok.

“Tinjauan mendapati ada yang masih merokok di situ (kedai dobi dan hotel). Justeru, wujud kebimbangan mengenai masalah kesihatan dalam kalangan perokok pasif.

“Oleh itu, kita akan bincang untuk tambah (larangan merokok di premis awam berkaitan) dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan promosi tempat makan sebagai larangan merokok, di sini, hari ini.

Selain ‘diserang’ Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran (PPKP), deretan restoran, dekat Bandar Permaisuri, Cheras di sini riuh dengan pengumuman awam menggunakan pembesar suara daripada van Kementerian Kesihatan yang berlegar di kawasan berdekatan.

Pengumuman bagi tujuan mendidik itu antara lain menyarankan orang ramai supaya akur dengan larangan merokok yang berkuat kuasa mulai 1 Januari, selain menguar-uarkan denda dan hukuman penjara terhadap pihak berkaitan jika mereka gagal mematuhi peraturan terbabit.

Dr Dzulkefly berkata, tempoh mendidik selama enam bulan yang diperuntukkan sebelum kompaun dan denda dikeluarkan masih terpakai meskipun wujud desakan supaya pendekatan itu dimansuhkan.

“Kita nak beri orang ramai faham bahawa kementerian bukan nak menghukum, sebaliknya lebih kepada mendidik supaya pelaksanaan larangan merokok ini berkesan dan berupaya dilaksanakan.

“Amaran lisan masih diberikan kepada perokok, namun tindakan punitif akan terus berkuat kuasa selepas tempoh mendidik selama enam bulan berakhir kerana ketika itu tiada lagi alasan untuk mereka gagal mengikuti peraturan.

“Kementerian setakat ini mempunyai 5,008 anggota PPKP yang ditugaskan untuk membuat pemantauan dan mengeluarkan amaran lisan kepada pihak yang ingkar, sama ada perokok atau pengusaha premis kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Berita Harian X