Jumaat, 28 Disember 2018 | 4:08pm
Rata-rata pengguna tidak panik dan bimbang mengenai dakwaan yang mereka mungkin berdepan masalah mendapatkan bekalan petrol dan diesel menjelang 1 Januari ini. - Foto hiasan
Rata-rata pengguna tidak panik dan bimbang mengenai dakwaan yang mereka mungkin berdepan masalah mendapatkan bekalan petrol dan diesel menjelang 1 Januari ini. - Foto hiasan

Pengguna tidak bimbang dakwaan bekalan petrol, diesel habis menjelang 1 Januari

KUALA LUMPUR: Rata-rata pengguna tidak panik dan bimbang mengenai dakwaan yang mereka mungkin berdepan masalah mendapatkan bekalan petrol dan diesel menjelang 1 Januari ini jika pengusaha stesen minyak enggan menambah stok bahan api sebelum tarikh itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera, Datuk Abu Samah Bachik sebelum ini, berkata pengusaha stesen minyak boleh bertindak demikian kerana kerajaan dijangka mengurangkan harga bahan api mulai Selasa depan dan kembali ke sistem penetapan harga secara mingguan.

Tinjauan Bernama mendapati pengguna tidak berasa terjejas dengan dakwaan terbabit dan berpegang dengan jaminan kerajaan bahawa bekalan bahan api itu mencukupi untuk jualan harian di seluruh negara.

Seorang pengguna, Koh Kar Ling, 30, yang bekerja sendiri menyifatkan pengumuman yang dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu sebagai meyakinkan dan beliau tidak bimbang.

“Kerajaan Malaysia boleh dipercayai dan saya percaya setiap pihak baik kerajaan, pembekal mahupun perantara memainkan peranan masing-masing dan menjaga hak dan kepentingan pengguna,” katanya.

Sementara itu, jurugambar bebas Karlheiri Mohamad Razali, 42, berkata situasi itu ​​​​​​​tidak mungkin berlaku kerana petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memastikan pengguna akan sentiasa mendapat bekalan di pasaran.

“Saya tidak rasa apa-apa (bimbang). Sama seperti pada masa dahulu ketika harga apungan​​​​​​​ secara​​​​​​​​​​​​​​ mingguan dibuat, saya tidak tunggu setiap Selasa untuk isi minyak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengurus stesen minyak di Lembah Klang yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu Bernama bahawa bekalan petrol dan diesel dijangka mencukupi sehingga awal 2019.

“Pengusaha minyak akan menerima bekalan daripada pembekal dan kami sememangnya tiada pilihan untuk menolak.

“Memang kami mengalami banyak kerugian, namun para pengguna tidak perlu bimbang kerana kami perlu memenuhi kehendak pengguna harian bagi bekalan bahan api di stesen-stesen minyak,” katanya.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Jamil Salleh sebelum ini berkata, pihaknya akan membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas stesen-stesen menjual bahan api bagi memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) pula akan mengadakan sidang media pada​​​​​​​ esok ​​​​​​berikutan pengumuman kerajaan pada 24 Disember untuk menukar semula kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah formula ‘Mekanisme Harga Automatik’ (APM) kepada penetapan harga jualan runcit secara mingguan bermula 1 Januari, 2019. – BERNAMA

Berita Harian X