Sabtu, 22 Disember 2018 | 6:08pm
Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Syed Saddiq suarakan hasrat akar umbi - BERSATU Selangor

SEPANG: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor menegaskan akan teguh menyokong Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung desakan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletak jawatan dalam Kabinet.

Ketua ARMADA Selangor, Adif Shan Abdullah, berkata pihaknya berdiri teguh dan menyangkal kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy kononnya Syed Saddiq menghina kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, penyerahan memorandum oleh sekumpulan anak muda bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan juga selaras dengan amalan demokrasi dalam parti.

“Syed Saddiq hanya menyuarakan hasrat akar umbi dan Ramasamy tidak sepatutnya melatah dengan kenyataan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Sepang 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di sini, hari ini,

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Timbalan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Muhammad Hafiz Shaari.

Media sebelum ini melaporkan Ramasamy menyifatkan Syed Saddiq menghina kebijaksanaan Dr Mahathir mengenai pelantikan Waytha Moorthy dan mendesak tindakan perlu diambil terhadap Syed Sadiq.

Pada masa sama Syed Saddiq turut memuat naik status di laman Facebooknya dan menegaskan beliau menyertai politik bukan untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.

Syed Saddiq menegaskan, beliau memasuki bidang politik bukan untuk menjadi ‘pak turut’ atau mendiamkan isu yang dibangkitkan rakyat.

Adif Shan berkata, sebelum ini Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin dan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANA) Terengganu juga menyuarakan cadangan supaya Waytha Moorthy meletak jawatan dan diganti dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil berkata, Pemuda DAP juga pernah menyuarakan pandangan supaya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meletak jawatan kerana prestasi kerjanya dilihat kurang baik.

“Apa juga keputusan berada ditangan dan kebijaksanaan Perdana Menteri, kita akur dan menyokong kepemimpinan beliau,” katanya.

Berita Harian X