Sabtu, 22 Disember 2018 | 5:38pm
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan. - NSTP/Rosdan Wahid
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan. - NSTP/Rosdan Wahid

Undang-undang tangani 'ali baba' perlu sasar 'jerung'

KUALA LUMPUR: Penggubalan undang-undang baharu berkaitan pemilikan sebenar bagi mengekang amalan ‘ali baba’ dalam penganugerahan projek dijangka berdepan pelbagai cabaran, selain dikhuatiri merencatkan inisiatif membela kontraktor kecil dalam kalangan Bumiputera.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan, menyifatkan tindakan bagi menjamin kualiti pembinaan rangkaian projek kerajaan itu sebagai usaha murni, namun mekanisme perundangan dan kawal selia mengenainya wajar diperhalusi.

Sehubungan itu, katanya, jalan terbaik yang perlu dilaksanakan kerajaan adalah dengan mengadakan sesi rundingan meja bulat, membabitkan pihak berkepentingan termasuk pelbagai persatuan kontraktor di negara ini.

“Apa yang dicanang mengenai isu subkontraktor sehingga mewujudkan lapisan pengendalian projek berbeza dengan realiti, justeru bawa kami semua berbincang supaya kerajaan dan agensi berkaitan mendapat gambaran sebenar mengenai hal ini.

“Dalam erti kata mudah, subkontraktor dinamakan (NSC) ialah terma yang lazimnya dipakai terhadap tindakan memberi sebahagian rantaian projek kepada pihak lain, membabitkan kontraktor kecil, contohnya kelas F atau E, manakala istilah syarikat usaha sama digunakan bagi merujuk perkara sama dalam kalangan kontraktor ‘gergasi’ seperti kelas A.

“Sedangkan, kebocoran akibat subkontraktor ini sering berlaku membabitkan projek mega apabila kita lihat mereka menganugerahkan beberapa rantaian proses pembinaan kepada syarikat lain, sekali gus wujud elemen mengaut keuntungan mudah.

“Lebih buruk apabila ‘bahagian’ itu diberikan kepada kontraktor asing sehingga menyumbang kepada kesan aliran keluar wang negara, berbanding syarikat tempatan atau Bumiputera yang mempunyai kepakaran sama untuk melaksanakan kerja terbabit,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, semalam dilaporkan berkata pihaknya akan mencadangkan satu undang-undang baharu berkaitan pemilikan sebenar (benificial of ownership).

“Ini berkaitan dengan banyak projek kerajaan, pentingnya undang-undang ini kerana berdasarkan pengalaman lalu, banyak projek diperoleh kontraktor utama tidak dibuat oleh mereka tapi diberi kepada subkontraktor, yang akhirnya projek itu dibuat oleh subkontraktor yang entah ke berapa.

“Ini menyebabkan projek dilaksanakan kurang berkualiti dan memberi kesan kepada penerima, dengan adanya undang-undang pemilikan sebenar ini kita percaya dapat atasi masalah pemberian sub atas sub oleh kontraktor ini.

“Perkara ini sudah dibuat beberapa negara dan berjaya seperti Brazil, Kanada dan Amerika Syarikat,” katanya.

Mohamed Fadzill berkata, pertimbangan lain yang perlu diberi perhatian ialah kesan perundangan kerana segelintir rantaian proses pembinaan bangunan memerlukan ia dilaksana oleh syarikat bertauliah dan mendapat perakuan agensi berkaitan.

Katanya, ia antara lain merangkumi kerja paip, pendingin hawa, pendawaian elektrik, struktur, bumbung dan sistem antikebakaran, justeru mencetuskan persoalan sama ada penggubalan undang-undang baharu itu akan bercanggah serta merumitkan pengurusan projek.

“Faktor sampingan yang perlu diberi penekanan ialah syarikat kontraktor kecil-kecilan yang berdepan kekangan modal, sekali gus terpaksa mengagihkan projek kepada pihak lain bagi memastikan proses pembinaan tidak terbengkalai atau melewati garis masa ditentukan.

“Penekanan terhadap usaha mengekang amalan ‘ali baba’ ini sepatutnya terarah kepada projek mega, kendalian syarikat ‘gergasi’ atau tersenarai di Bursa Malaysia banyak yang mengambil keuntungan ‘atas angin’ dengan memberikannya kepada kontraktor asing.

“Jika ia diberikan kepada kontraktor tempatan atau Bumiputera sekali pun, kita tidak boleh lari daripada tindakan perundangan apabila berlaku kepincangan, namun tindakan punitif sama sukar dilakukan terhadap pemaju asing,” katanya.

Berita Harian X