Jumaat, 21 Disember 2018 | 6:06pm

Dividen rendah ASB, ASN sudah dijangka selepas PRU-14 - Najib

KUALA LUMPUR: Agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) tahun ini yang merosot sudah dijangka akibat kejatuhan indeks Bursa Malaysia dan ekonomi negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dividen tujuh sen untuk ASB tahun ini juga adalah kadar dividen yang paling rendah sejak penubuhan ASB pada 1990.

“Dividen dan bonus ASB untuk tahun ini ialah tujuh sen (6.5 sen + bonus 0.5 sen) berbanding 8.25 sen (tujuh sen + bonus 0.25 sen + bonus khas satu sen) pada tahun lalu.

“Walaupun bonus khas satu sen untuk tahun lalu dihadkan kepada 10,000 unit pertama, sebahagian besar pemegang unit, berjumlah kira-kira 7.5 juta dengan baki sehingga 10,000 unit mendapat pulangan efektif sebanyak 8.25 sen berbanding tujuh sen tahun ini,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya hari ini.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata ia merangkumi pembayaran pengagihan sebanyak tujuh sen seunit dengan jumlah anggaran pembayaran sebanyak RM10.7 bilion yang akan memanfaatkan 9.6 juta pemegang unit memiliki 155 bilion unit dalam ASB.

Tahun lalu, agihan pendapatan ASB ialah tujuh sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit .

Mengulas lanjut, Najib berkata, agihan ASN sebanyak 3.25 sen tahun ini berbanding 3.65 setahun lalu juga menjadi kadar dividen paling rendah sejak ASN bermula.

“Walaupun 2019 akan lebih mencabar berbanding tahun ini, kita sama-sama berdoa kadar dividen untuk tahun depan akan pulih semula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib turut meluahkan kesedihannya terhadap keputusan kerajaan yang akan memansuhkan Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) bermula tahun depan.

“ADAM50 adalah dana pertama dalam sejarah negara bertujuan untuk menggalakkan simpanan peribadi untuk ibu bapa muda.

“Walaupun ibu bapa tidak tambah langsung, wang permulaan RM200 ini akan menjadi sekitar RM587, tapi kalau tambah RM10 sebulan ia akan meningkat kepada RM4,000 manakala RM50 sebulan akan jadi RM20,000 dan kalau RM100 akan jadi RM40,000 apabila umur anak ini cukup 18 tahun,” katanya.

Di bawah ADAM50, Najib berkata bayi yang lahir mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan menerima dana tabungan permulaan RM200 percuma menerusi unit ASB bagi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) untuk bukan Bumiputera.

“Kalau tak suka nama ADAM50 pun, boleh jenama semula kepada GuanEng50 ataupun Sabu50. Janganlah mansuh,” katanya.

Berita Harian X