Jumaat, 21 Disember 2018 | 2:51pm
ABU Kassim ketika sidang media mengenai Inisiatif Kerajaan Persekutuan Mengenai Governans, Integriti & Anti-Rasuah Nasional di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 dilancar 31 Januari

PUTRAJAYA: Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang bertujuan menangani isu governans, integriti dan antirasuah secara menyeluruh akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 31 Januari tahun depan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata antara intipati pelan berkenaan adalah rangkuman beberapa perkara dasar dan elemen penting termasuk manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memerangi rasuah.

“Selain itu, kita turut mengambil kira laporan yang dikemukakan oleh pihak jawatankuasa semakan yang dilantik oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

“Laporan berkenaan berkaitan perkara yang perlu dilakukan dan dijadikan asas kepada NACP, selain itu kita turut mengambil kira cadangan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) untuk dikaji dan dimasukkan dalam NACP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat kepada media berkenaan Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-Usaha Memerangi Rasuah di Malaysia Jun-Disember 2018 di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Abu Kassim berkata, penubuhan NACP itu adalah satu daripada 61 inisiatif yang digariskan dan diputuskan menerusi lima mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) sejak Jun hingga Disember tahun ini.

“Usaha kerajaan dalam meningkatkan integriti dan memerangi rasuah di Malaysia sejak Jun lalu sudah mendapat kesan positif termasuk keyakinan pihak antarabangsa seperti UNODC, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“61 inisiatif ini ada yang sudah diputuskan dan dilaksanakan namun ada masyarakat tidak tahu mengenainya. Selain itu ada juga yang masih dalam perbincangan berikutan GIACC ini baru ditubuhkan enam bulan.

“Apabila NACP dilancarkan nanti, kita akan ada lebih 100 inisiatif lagi, semua ini adalah usaha untuk menutup ruang dan peluang kepada sesiapa pun terbabit dengan rasuah,” katanya.

Berita Harian X