Jumaat, 21 Disember 2018 | 2:49pm
JAMIL Khir Baharom. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
JAMIL Khir Baharom. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kerajaan perlu turuti kehendak rakyat mahu Waytha Moorthy letak jawatan

ALOR SETAR: Kerajaan perlu mengikut kehendak rakyat yang mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletak jawatan susulan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, bulan lalu, yang mengorbankan nyawa seorang anggota bomba.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan harus membuktikan perpaduan dalam negara kukuh menerusi tindakan dan bukannya dalam bentuk ucapan semata-mata.

“Kalau lambat kita ambil tindakan dengan apa yang menimpa arwah dan keluarganya serta mereka yang terbabit dalam insiden itu, ia akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap perpaduan luntur.

“Saya melihat bahawa urusan yang berkaitan dengan perpaduan harus dimantapkan di Malaysia dan ia perlu ditafsirkan melalui perbuatan dan bukan ucapan sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia pada Isnin lalu, di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dipukul dalam kejadian rusuhan pada 27 November itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kejadian yang menimpa arwah harus diberikan keadilan melalui tindakan undang-undang yang setimpal.

Katanya ia bukanlah soal membalas dendam ataupun kerana bermusuhan, sebaliknya kerajaan perlu bertindak mengikut perlembagaan negara yang mendaulatkan undang-undang.

“Rakyat termasuk Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berduka cita dengan kejadian yang menimpa arwah Muhammad Adib kerana tugasnya dipandang tinggi sebagai anggota penyelamat.

“Kita mohon keadilan diberikan kepada arwah kerana kematian arwah ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran, tindakan yang tegas harus diambil kepada mereka yang membawa atau menyebabkan kematian Muhammad Adib,” katanya.

Terdahulu, Jamil Khir turut mengetuai bacaan tahlil di rumah keluarga Muhammad Adib yang turut dihadiri oleh penduduk kampung.

Berita Harian X