Jumaat, 21 Disember 2018 | 11:38am
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya, Aminuddin Yahaya (kanan). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya, Aminuddin Yahaya (kanan). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dakwaan HINDRAF sengaja mahu cetus persepsi politik

KUALA LUMPUR: Dakwaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) kononnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dijadikan ‘kambing hitam’ sengaja mahu menimbulkan persepsi politik dalam kalangan masyarakat.

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya, berkata kenyataan HINDRAF itu seolah-olah mahu meraih simpati masyarakat bahawa pengerusi pertubuhan itu adalah mangsa sebenar politik perkauman dan agama.

Beliau berkata, soalnya bukan masalah siapa ‘kambing hitam’ dan pastinya bukan masalah perkauman, sebaliknya masalah penghinaan terhadap undang-undang negara.

“Mereka ini bukan tak faham tetapi sengaja tidak mahu faham. Biasalah, kenyataan HINDRAF itu hanyalah untuk lindung dan pertahan bosnya (Waytha Moorthy).

“Pertama, bagi UMMAH, kita lihat dari segi undang-undang atau ‘rule of law’... Sebab apa yang berlaku (di kuil Seafield) bercanggah dengan keputusan mahkamah. Kuil masih di situ, tak perlu pindah. Itu dianggap penghinaan terhadap mahkamah.

“Kedua, beliau (Waytha Moorthy) salahkan pihak keselamatan atau pihak polis kerana lambat ke tempat kejadian. Ia langsung tidak betul dan Ketua Polis Negara pun sudah nafi dakwaan itu.

“Jadi, isu ini bukan isu kambing hitam atau masalah perkauman. Kalau orang lain fikir begitu, tidak bagi UMMAH kerana bagi perspektif kita bukan macam itu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan HINDRAF yang mendakwa pengerusinya, Waytha Moorthy dijadikan ‘kambing hitam’ dalam politik perkauman dan agama, susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dakwaan itu dibuat Penasihat Perundangan HINDRAF, Karthig Shan, yang dipetik berkata, politik perkauman dan agama digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu dengan mengaitkan kematian tragik Adib.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam.

Dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, akhir bulan lalu, Waytha Moorthy turut mengeluarkan kenyataan menyalahkan polis kerana didakwa tidak mengendalikan isu itu dengan baik.

Sementara itu, pemergian Muhammad Adib yang ditangisi seluruh negara dipercayai turut menjadi punca banyak pihak mula mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan atau dipecat.

Berita Harian X