Khamis, 20 Disember 2018 | 3:02pm
MOHD Amar menerima cenderahati daripada Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Azran Fitri Abdul Rahim ketika menerima kunjungan hormat KEMUDI di pejabatnya di Kompleks Kota Darulaim. - NSTP/Syamsi Suhaimi
MOHD Amar menerima cenderahati daripada Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Azran Fitri Abdul Rahim ketika menerima kunjungan hormat KEMUDI di pejabatnya di Kompleks Kota Darulaim. - NSTP/Syamsi Suhaimi

PAS setuju desakan Waytha Moorthy letak jawatan

KOTA BHARU: PAS Kelantan menyokong desakan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ini berikutan kerana Waytha Moorthy sebagai menteri perpaduan tetapi tidak membawa imej perpaduan.

Katanya, jika beliau tidak meletak jawatan, kepercayaan rakyat terutama orang Islam terhadap PH akan mula terhakis.

“Kita (PAS Kelantan) setuju semua pihak meminta beliau (Waytha Moorthy) berundur kerana ia boleh menyelamatkan keadaan (kepercayaan rakyat).

“Rakyat kini makin hilang kepercayaan dan sekarang pun mula terhakis kerana rakyat kecewa dengan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan dan juga janji untuk selesai masalah rakyat tetapi masih ada yang tidak selesai,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyebaran video Waytha Moorthy turut mengguris perasaan rakyat walaupun ia satu video lama.

Katanya, sepatutnya beliau perlu meminta maaf kerana kenyataannya dalam video itu adalah serius.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas laporan yang mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan susulan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu yang mengorbankan seorang anggota bomba.

Berita Harian X