Selasa, 18 Disember 2018 | 3:31pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Nasib Waytha Moorthy di tangan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Nasib P Waytha Moorthy sama ada perlu melepaskan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau tidak, bergantung sepenuhnya pada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata hanya Dr Mahathir berhak memutuskan sama ada akur dengan desakan pelbagai pihak yang mahu Waytha Moorthy berundur daripada menganggotai Kabinet, atau tidak.

“Itu terserah kepada Tun Dr Mahathir. Beliau yang membentuk (memilih anggota) Kabinet, jadi terpulang kepada Perdana Menteri untuk pertimbangkan (desakan Waytha Moorthy meletak jawatan).

“(Kewajaran desakan) Tengok pada pandangan masing-masing mengenai sejauh mana pembabitan Waytha Moorthy dalam kes itu sehingga boleh berlakunya tragedi berkenaan.

“Namun, soal pembabitan Waytha Moorthy dalam ‘menganjurkan’ rusuhan itu perlu disiasat, dan saya harap polis akan teruskan siasatan serta menahan dan mendakwa mereka yang didapati bersalah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Solidariti Untuk Kemanusiaan-Kembara Rohani di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Waytha Moorthy meletak jawatan, susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, semalam selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata semua pihak perlu berlaku adil dengan tidak menuding jari pada Waytha Moorthy semata-mata, kerana pihak yang menyerang kuil itu juga perlu dipersalahkan.

“Golongan yang mempertahankan kuil pun perlu dipersalahkan, kerana jika mereka duduk dalam kuil untuk pertahankannya tak jadi masalah, tapi mereka merusuh,” katanya.

Ditanya sama ada pihak berkuasa perlu bertindak terhadap Exco Selangor, V Ganabatirau, berhubung rusuhan itu, Khalid berkata ia bergantung sama ada beliau boleh disifatkan sebagai terbabit mencetuskan rusuhan itu.

“Yang penting, jangan kita salahkan keseluruhan kaum India atas peristiwa yang berlaku, malah bukan semua yang mempertahankan kuil itu terbabit.

“Mereka yang benar-benar terbabit dalam rusuhan dan tindakan membunuh itu yang perlu dikenakan tindakan,” katanya.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya, berkata penganjuran program Solidariti Untuk Kemanusiaan-Kembara Rohani, tepat pada masanya melihat kepada wujudnya usaha pihak tertentu yang mahu mencetuskan perbalahan dan perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam di sini.

Katanya, program sempena ambang Tahun Baru itu mampu mengukuhkan perpaduan dan sikap saling menghormati antara kaum dan agama, menerusi penerapan unsur keamanan, kemanusiaan dan sukarelawan.

“Saya harap lebih 10,000 warga kota hadir memeriahkan program Solidariti Untuk Kemanusiaan-Kembara Rohani yang akan diadakan pada 29 Disember ini bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam di Dataran Merdeka,” katanya.

Program anjuran MAPIM dan Falah Biz Sdn Bhd dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara lain bakal diisi dengan pameran kemanusiaan, ekspresi tokoh sukarelawan, persembahan kesenian dan acara memanah.

Antara artis yang akan membuat persembahan termasuklah Yasin Sulaiman, Adam Corrie, Heliza Hilmi, Yazid Search, kumpulan As Salam dan Zarina Mohd Nor atau Zarina Raja Lawak.

Berita Harian X