Selasa, 18 Disember 2018 | 11:45am
ASYRAF Wajdi
ASYRAF Wajdi

Segerakan pendakwaan kes kematian Adib - Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO merakamkan ucapan takziah atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu.

Ketua pergerakan itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya bersimpati dan sedih dengan kehilangan nyawa penjawat awam yang tidak berdosa dan mahu pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Allahyarham.

”Pemuda UMNO sedih dan bersimpati atas pemergian Muhammad Adib.

“Demi keadilan buat Allahyarham, Pemuda UMNO mendesak supaya pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba yang hanya cuba menjalankan tugas pada malam kedua rusuhan berlaku.

“Sebagaimana yang dilaporkan Menteri Dalam Negeri di Parlimen, serangan ke atas Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan agama mahupun kaum sebaliknya pertelingkahan antara kumpulan samseng yang diupah pemaju dengan penganut Hindu kuil berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO juga mahu siasatan dan pendakwaan kes kematian Muhammad Adib dilakukan secara telus, adil dan tiada pilih kasih.

Ini kerana katanya, keadilan mesti dilihat ditegakkan kerana ia membabitkan nyawa seorang penjawat awam yang tidak berdosa.

Not only must justice be done, it must also be seen to be done (Bukan hanya keadilan perlu ditegakkan malah ia juga mesti dilihat sudah ditegakkan.

“Justeru, Pemuda UMNO meminta orang ramai supaya sentiasa bertenang dan mengelakkan daripada mencetuskan apa juga bentuk sentimen perkauman mahupun agama daripada tragedi ini yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Berita Harian X