Isnin, 10 Disember 2018 | 7:02pm
TUN Dr Mahathir Mohamad - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Dr Mahathir lancar garis panduan kurangkan risiko rasuah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini melancarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi bagi membantu organisasi komersial dalam industri menggunakan langkah asas bagi mengurangkan risiko rasuah.

Garis panduan itu adalah seperti mana termaktub di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dr Mahathir berkata garis panduan itu digubal bagi membantu pertubuhan komersial memahami ‘tatacara mencukupi’ untuk dilaksanakan bagi mencegah amalan rasuah.

“Penguatkuasaan Seksyen 17A akan bermula pada 1 Jun 2020. Diharapkan pertubuhan komersial mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan diri dengan kewajipan baharu ini yang akan membawa faedah berganda kepada keuntungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup seminar ‘Juara-juara Antirasuah: Sesi Perkongsian dengan Pemenang Anugerah Cemerlang Antirasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani 2018’ di sini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sementara itu, Dr Mahathir menggesa semua pihak memerangi rasuah dengan penuh tekad dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Ini kerana rasuah tetap rasuah tanpa mengira siapa yang melakukannya,” kata beliau yang menambah undang-undang amat penting dalam menangani rasuah dan jenayah itu hanya dapat dikurangkan apabila semua orang mematuhi undang-undang.

Seluruh masyarakat harus faham rasuah adalah jenayah dan penghalang pembinaan bangsa.

“Apabila seseorang dianggap mengatasi undang-undang, rasuah akan berlaku,” katanya.

Bagi sektor swasta, Dr Mahathir berkata antara inisiatif yang diambil kerajaan bagi membanteras rasuah ialah dengan memastikan kegiatan sedemikian dipantau dan dikekang.

Beliau berkata selain menjadikan tadbir urus baik satu kelaziman, syarikat juga perlu menubuhkan unit governans dan integriti yang diletakkan di bawah lembaga pengarahnya.

Katanya di samping pelaksanaan ISO 370001 Sistem Pengurusan Antirasuah, syarikat dan pertubuhan juga digalak mengadakan latihan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).

“CRM adalah proses pengurusan yang membantu pertubuhan mengenal pasti risiko rasuah, salah guna kuasa dan penggelapan (wang),” katanya.

Beliau berkata satu lagi inisiatif antirasuah sedang dirancang menerusi Pelan Anti-Rasuah Nasional yang dijadualkan dilancar pada Januari depan.

Pelan lima tahun itu bertujuan menetapkan sasaran dan inisiatif yang praktikal untuk menangani rasuah di negara ini bagi tempoh 2019-2023. - BERNAMA

Berita Harian X