Sabtu, 8 Disember 2018 | 11:48am
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow (tengah) hadir pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan SP Arena, Seberang Jaya, hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pulau Pinang tetap mahu peruntukan Kerajaan Persekutuan - KM

BUTTERWORTH: Pulau Pinang terus mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak sesekali melupakan negeri itu daripada segi penyaluran peruntukan selepas kewangan negara mula stabil.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, berkata negeri di bawah kepimpinannya mendapat pengiktirafan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai antara negeri maju di Malaysia dengan pembangunan dan sosioekonomi yang mantap.

Bagaimanapun, katanya, pengiktirafan itu mengundang masalah terhadap pentadbirannya berikutan ketiadaan peruntukan daripada kerajaan pusat kerana dibimbangi status kemajuan yang dicapai tidak dapat diteruskan.

“Jika kata Pulau Pinang sebuah negeri maju sudah tentu banyak usaha perlu dilakukan bagi mengekalkan pengiktirafan ini yang mana kita memerlukan peruntukan dari kerajaan pusat bagi membantu mengekalkan kemajuan di negeri ini.

“Kita tahu keadaan terkini kerajaan pusat melalui banyak cabaran dalam memulihkan kewangan namun berharap mereka tidak akan melupakan Pulau Pinang apabila ia pulih nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan SP Arena, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM567,800 bagi membiayai 564 pelajar dalam daerah Seberang Perai Tengah yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri amat memerlukan peruntukan daripada kerajaan persekutuan dalam usaha memastikan rakyat di negeri ini dapat terus menikmati kemajuan yang ada.

“Kita perlukan peruntukan bagi menjalankan projek infrastruktur, membina dan membaik pulih jalan raya, meneruskan projek rancangan tebatan banjir, melaksanakan projek perumahan rakyat serta meneruskan program kebajikan dan sosial,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 awal November, kerajaan memperuntukkan kemudahan bebas cukai bagi pengusaha kedai di Pelabuhan Swettenham di sini, selain memansuhkan tol bagi laluan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah(JSAHMS).

Baru-baru ini, Kon Yeow menyatakan Pulau Pinang dianggap maju oleh kerajaan pusat hingga menyebabkan tiada peruntukan khusus dapat disalurkan ke negeri itu.

Di samping itu, negeri ‘Pulau Mutiara’ berkenaan juga sudah dimaklumkan supaya tidak terlalu berharap kepada kerajaan persekutuan, khususnya dengan kedudukan kewangan negara terkini.

Berita Harian X