BANGI: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, menerima anugerah khas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak NIOSH, malam ini.
Ia bagi menghargai pembabitan penuh dedikasi dan sumbangan beliau kepada NIOSH dalam tempoh 25 tahun.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
Selain itu, akhbar Harian Metro dan Sistem Televisyen (M) Berhad (TV3) dari Kumpulan Media Prima Berhad serta beberapa organisasi media terpilih menerima sijil penghargaan daripada NIOSH bagi menghargai peranan dan kerjasama dalam menyokong peranan dan kepentingan bidang keselamatan dan kesihatan.
Sijili penghargaan kepada wakil media disampaikan oleh Lam Thye.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Lim Eng Hock dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.
Sementara itu, Kulasegaran dalam ucapannya, berkata NIOSH melatih lebih 120,000 peserta manakala lebih 3,500 pekerja dalam aktiviti perundingan mengenai aspek keselamatan dan kesihatan setiap tahun.
Katanya, NIOSH turut menganjurkan 500 aktiviti penyebaran maklumat berhubung budaya Pekerjaan dan Keselamatan (OSH) setiap tahun.
Sehubungan itu, NIOSH telah membantu mengurangkan kemalangan industri di negara ini.
“NIOSH perlu terus memperluas peranan dan komitmennya untuk membantu meningkatkan status keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.