Khamis, 6 Disember 2018 | 5:48pm
ABDUL Jalil (tengah) bertukar dokumen perjanjian persefahaman kepada Chin Sung Chew (tiga dari kanan) sambil ditemani Mohd Taufek (dua dari kanan), Yushaimi Maulud, (dua dari kiri), Farah Marshita Abdul Patah (kanan) dan Nor Arzlin, (kiri) selepas Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian (MoU) di antara The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan (CA) bagi Penggal 2017-2019 dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) di Theatrette, Balai Berita, Bangsar. - NSTP/Azhar Ramli

Media perlu transformasi atasi gangguan digital

KUALA LUMPUR: Gangguan digital memaksa banyak syarikat media tempatan dan global melakukan transformasi bagi menambah baik kandungan untuk kekal relevan.

Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, berkata gangguan digital itu turut mempengaruhi teknologi yang secara langsung mempengaruhi tingkah laku pengguna dan pendemokrasian kandungan.

Katanya, ia memerlukan anjakan dalam minda, budaya, proses dan sistem, di mana berita tidak lagi berpaksikan media cetak tetapi di dahului versi digital yang sentiasa ada mengikut permintaan 24 jam di hujung jari, di mana saja dan pada bila-bila masa.

“Sebagai sebahagian daripada Media Prima Berhad (Media Prima), NSTP akan terus berusaha meningkatkan pendapatan, mengurus kos dan kekal komited bagi memenuhi segmen pembaca serta pengguna yang kian meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Memeterai Perjanjian Bersama (CA) bagi penggal 2017-2019 antara NSTP, dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), di Balai Berita, di sini hari ini.

Abdul Jalil mewakili NSTP, manakala NUJ di wakili Presiden NUJ, Mohd Taufek Razak.

Yang turut hadir, Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya; Pengurus Kanan Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan; Setiausaha Agung NUJ, Chin Sun Chew dan Pengerusi Cawangan NSTP-NUJ, Farah Marshita Abdul Fatah.

Perjanjian CA baharu itu akan memanfaatkan 363 wartawan bukan eksekutif daripada tiga produk penerbitan NSTP iaitu New Straits Times, BH dan Harian Metro.

Abdul Jalil berkata, walaupun berdepan dengan industri media yang semakin mencabar beliau gembira kerana CA yang baharu itu, berjaya dimeterai.

“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada kepemimpinan NUJ dan semua ahli NUJ atas sumbangan dan sokongan bagi memastikan inisiatif ini dapat dijayakan sepenuhnya.

“Syabas kepada pasukan kedua-dua pihak yang terbabit dalam rundingan untuk mencapai kesepakatan bagi faedah bersama ini,” katanya.

Berita Harian X