Rabu, 5 Disember 2018 | 4:19pm

Lynas terkejut dengan prasyarat pembaharuan lesen

KUANTAN: Lynas Corporation Ltd (Lynas) terkejut dengan keputusan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berhubung prasyarat pembaharuan lesen kepada LAMP untuk terus beroperasi di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Amanda Lacaze, berkata ia tidak selari dengan laporan berdasarkan kajian saintifik dan pakar oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Mengenai Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini, sekali gus bertentangan dengan amalan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya menghormati dan gembira dengan laporan penilaian jawatankuasa eksekutif yang menunjukkan bahawa LAMP yang berasaskan teknologi dan prosedur yang terkawal dengan risiko yang rendah dan mematuhi standard keselamatan, kesihatan dan alam sekitar mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ia (prasyarat) seperti polisi berdasarkan politik bukannya berdasarkan sains... ia agak mengecewakan apabila menerimanya pada waktu yang sama laporan penilaian jawatankuasa berkenaan dikeluarkan. Bagaimanapun, kita yakin kita dapat menguruskan sebarang perubahan dan pelaburan jangka panjang akan terus kukuh,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, mengenakan dua syarat untuk pembaharuan lesen LAMP antaranya menghantar sisas mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

Kenyataan itu menyebut LAMP perlu memastikan sisa Water Leached Purification Residue (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif hendaklah dihantar keluar dari Malaysia dan bagi sisa buangan terjadual Neutralization Underflow Residue (NUF) yang bukan radioaktif, LAMP perlu mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan yang terkumpul sebelum ia boleh dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Justeru, Lynas kecewa kerana tujuan kementerian itu mengenakan syarat berkenaan berbeza dengan kenyataan media yang dikeluarkan pada 30 Oktober lalu, bahawa Kabinet akan menilai laporan jawatankuasa eksekutif itu sebelum mengumumkan sebarang keputusan.

“Proses ini seolah-olah seperti tidak diguna pakai. Prasyarat berkenaan tidak konsisten dengan cadangan penilaian oleh jawatankuasa eksekutif berkenaan yang menyarankan Lynas segera mengenal pasti lokasi dan fasiliti pelupusan kekal (PDF) untuk sisa WLP termasuk mengenalpasti tapak untuk pembinaan PDF, sebelum lesen operasi diperbaharui.

“Penilaian jawatankuasa berkenaan juga mengambil maklum bahawa Lynas Corporation Ltd, Australia dan Lynas Malaysia Sdn Bhd, sedia membawa keluar sisa WLP dari Malaysia jika lokasi PDF tidak dapat dikenal pasti atau tidak diluluskan.

“Pelan rangka kerja dan pemilihan tapak pembinaan PDF sudah mendapat persetujuan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan kerajaan negeri sudah memberi kebenaran pembinaan tapak PDF di Pahang,” katanya.

Kenyataan media itu juga menjelaskan Lynas sentiasa mematuhi syarat lesen AELB termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan saranan jawatankuasa eksekutif itu sentiasa konsisten iaitu sisa bahan buangan perlu dikitar semula dan jika gagal berbuat demikian maka perlu disimpan dalam PDF, manakala penghantaran sisa ke luar negara perlu jika PDF tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru, kita akan pertimbangkan semua pilihan termasuk undang-undang bagi tujuan berkenaan kerana Lesen Penstoran Sementara berakhir sehingga 2 September 2019,” katanya.

Mengenai sisa NUF, Lynas sudah menyerahkan pelan tindakan dan akan menemui Jabatan Alam Sekitar bagi mempercepatkan usaha mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan pelan itu.

Berita Harian X