Rabu, 5 Disember 2018 | 4:08pm
M Kulasegaran mempengerusikan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) 2018 di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Sasar 100,000 pemandu teksi, e-hailing carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Semua 100,000 pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing di seluruh negara disasarkan mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata ketika ini hanya 7,000 atau tujuh peratus daripada semua pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing mencarum dengan PERKESO menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Baki 93 peratus tidak ada perlindungan sedangkan mereka adalah kumpulan paling berisiko (berdepan kemalangan).

“Jumlah perlu dibayar untuk caruman ini adalah paling minimum iaitu RM154 setahun atau antara RM12 hingga RM13 sebulan.

“Kita akan berkempen dan bertemu dengan semua pemandu teksi serta e-hailing. Saya harap semua 100,000 pemandu akan mendapat perlindungan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) 2018 di Parlimen, hari ini.

Mesyuarat dihadiri wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Kulasegaran berkata, pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan bersetuju secara prinsip untuk tidak membenarkan pembaharuan permit kepada pemandu teksi dan e-hailing yang tidak mencarum dengan PERKESO.

“Saya cadangkan ia bermula 1 Januari tahun depan, namun terpulang kepada Kementerian Pengangkutan yang akan melaksanakannya dan kami terbuka jika pemandu teksi serta e-hailing perlukan masa,” katanya.

Ditanya mengapa tidak ramai pemandu teksi mahu mencarum dengan PERKESO, beliau berkata, ia berkemungkinan mereka tidak tahu kadar dikenakan adalah minimum, selain tidak menyedari keperluannya.

“Kita perlu mendidik mereka. Kebanyakan kes sebelum ini, apabila kemalangan berlaku membabitkan pemandu teksi, keluarga mereka datang sambil menangis meminta bantuan,” katanya.

Bermula 1 November lalu, pemandu perkhidmatan e-hailing dan teksi diwajibkan mendaftar serta membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi PERKESO.

Berita Harian X