Jumaat, 30 November 2018 | 3:00pm
AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (dua dari kiri) merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 Peringkat negeri di Dewan Utama Pahang Skills, Kuantan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal
AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (dua dari kiri) merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 Peringkat negeri di Dewan Utama Pahang Skills, Kuantan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

LYNAS wajar penuhi aku janji hantar sisa ke Australia

KUANTAN: Syarikat Lynas Corporation Ltd (LYNAS) sepatutnya menunaikan janji dibuat mereka pada 2012 dengan menghantar semula sisa radioaktif ke negara asal, Australia.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata selepas kilang LYNAS memperoleh lesen operasi sementara (TOL) dan dibenarkan beroperasi sejak 2012, mereka belum menyediakan kemudahan pelupusan kekal (PDF) dan kaedah pelupusan sisa radioaktif yang boleh menjamin keselamatan penduduk berhampiran kilang memproses nadir bumi itu.

“Kalau boleh, saya harap sangat kerajaan (Pusat) dapat mengarahkan mereka (LYNAS) menghantar balik semua sisa pemprosesan nadir bumi itu ke Australia.

“Pihak LYNAS pernah berjanji pada 2012 untuk membawa balik sisa ke sana (Australia) dan kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini... mereka (LYNAS) pun kenalah bertanggungjawab sebab dulu sudah buat aku janji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 Peringkat negeri di Dewan Utama Pahang Skills, dekat sini, hari ini

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Normah Mohd Dali dan Pengarah LPPKN Pahang, Nor Hafizah Md Nor.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata rumusan sesi pendengaran awam yang diadakan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LYNAS pada 11 November lalu, sepatutnya mengambil kira semua aspek termasuklah luahan dan kebimbangan disuarakan penduduk.

“Saya tidak pasti apa hasil (rumusan) sesi berkenaan dan kalau nak kira, rumusan itu sudah diserahkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, Selasa lalu.

“Sepatutnya, beliau (Bee Yin) sudah mengeluarkan kenyataan berhubung rumusan sesi pendengaran awam berkenaan itu semalam... rasanya masih belum ada (kenyataan dikeluarkan) dan mungkin dalam sehari dua lagi, kita dapat tahu apa hasil rumusan dibuat jawatankuasa terbabit,” katanya.

Berita Harian X