Khamis, 29 November 2018 | 3:51pm
- Foto Hiasan

Usul bahas isu rusuhan kuil ditolak

KUALA LUMPUR: Usul tergempar menangguhkan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan Insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dimaklumkan oleh Mohamad Ariff dalam kamarnya, pagi tadi.

Fahmi berkata, usul yang dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) kelmarin, ditolak atas alasan siasatan membabitkan rusuhan dan pertikaian tanah kuil itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Usul mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) yang saya kemukakan sebelum ini, ditolak dalam kamar atas nasihat Speaker Dewan Rakyat.

“Speaker (Mohamad Ariff) maklumkan, antara alasan usul ini ditolak adalah kerana siasatan isu kekecohan yang berlaku di kuil itu sedang dijalankan, seperti mana yang kita dengar dalam kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, hari ini.

“Saya menerima keputusan ini kerana berasa kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mencapai objektif asal usul tergempar ini dikemukakan.

“Jika usul ini dibenarkan dan Ahli Parlimen membahaskannya, ia akan dijawab oleh menteri berkaitan dan rakyat sudah mendapat jawapan daripada Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersolidariti menghantar usul tergempar menangguhkan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Usul mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu dihantar secara berasingan oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan Fahmi mewakili Pakatan Harapan (PH).

Peraturan itu memperuntukkan mana-mana Ahli Parlimen boleh mencadangkan penangguhan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara membabitkan kepentingan awam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan kenyataan khas bertajuk ‘Tindakan Kerajaan Dalam Memastikan Ketenteraman dan Keharmonian Kaum Dalam Negara Lanjutan Daripada Insiden di Tapak Kuil Sri Maha Mahariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya Selangor’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi berkata, semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Kita perlu memastikan penyelesaian dapat diusahakan dengan bijak demi perpaduan rakyat, khususnya mereka yang menetap di kawasan itu,” katanya.

Berita Harian X