Khamis, 29 November 2018 | 1:50pm
Dr Mahathir diiringi Maszlee serta Dr Siti Hamisah bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-12 di Putrajaya. - Foto BERNAMA
Dr Mahathir diiringi Maszlee serta Dr Siti Hamisah bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-12 di Putrajaya. - Foto BERNAMA

Perbahasan cetus, kembang idea

Putrajaya: Kemajuan teknologi, penyusunan semula pembiayaan sistem kesihatan dan masa depan pendidikan untuk industri pekerjaan adalah antara beberapa perkara penting yang boleh diteroka demi memajukan sesebuah negara. 

Perkara itu dikongsi pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, 66, yang juga penerima Tokoh Akademik Negara Ke-12, pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2018 yang berlangsung baru-baru ini. 

Kata Jomo, wujud banyak peluang lebih baik dalam bidang berkenaan jika ingin memajukan negara. 

“Saya akui akan wujud banyak cabaran, namun perubahan yang berlaku di tanah air buat masa ini penting untuk kita berkongsi pandangan yang mungkin tidak dapat difikirkan sebelum ini.

“Sesuatu idea dan pemikiran juga boleh berkembang serta dapat dimajukan sekiranya ia melalui proses perbahasan dan percanggahan pendapat. 

“Jika tiada perbahasan dan percanggahan pendapat, sukar bagi sesuatu pemikiran khususnya dasar negara untuk berfungsi seperti dirancang,” katanya. 

Jomo juga akui sikap keterbukaan media pada masa ini membuka banyak peluang untuk semua pihak berbahas mengenai beberapa idea. 

“Saya tidak suka perbahasan hanya daripada satu pihak sahaja khususnya pihak yang berkuasa. Bagi saya, penting juga pihak yang membangkang dapat bersuara, tetapi tidak hanya untuk kepentingan politik jangka pendek. Harus memikirkan apa yang baik untuk masa depan tanah air,” katanya. 

Katanya, dua tahun lalu namanya pernah dicadangkan untuk menerima anugerah sama, tetapi tidak dipilih. 

“Bagi saya, ia pengiktirafan tertinggi yang diterima pada peringkat negara tetapi tidak bermakna kerajaan sekarang bersetuju dengan apa yang pernah saya tulis dan suarakan, sebaliknya ia mencerminkan sikap terbuka kerajaan kepada pandangan bernas walaupun ianya berbeza dan kadangkala bercangggah,” katanya. 

Atas pengiktirafan itu, Jomo yang juga bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan, menerima wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Pemilihan Jomo dibuat berdasarkan jasanya secara menyeluruh dan sentiasa menyumbang kepada penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara, memenuhi aspirasi universiti sebagai jentera pembangunan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Jomo pernah memegang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB Bagi Pembangunan Ekonomi (PBB-DESA) iaitu pembuat polisi, mengeluarkan analisis ekonomi dan sosial berkualiti serta membantu negara untuk membangun. 

Dr Mahathir diiringi Maszlee dan dan Dr Siti Hamisah menyampaikan anugerah kepada Jomo pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-12 di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Dr Mahathir diiringi Maszlee dan dan Dr Siti Hamisah menyampaikan anugerah kepada Jomo pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-12 di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pencapaian Jomo

Jawatan terakhirnya di PBB adalah sebagai Penolong Ketua Pengarah dan Penyelaras Pembangunan Ekonomi dan Sosial di Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB bermula 2012 hingga 2015. 

Selain Jomo, enam ahli akademik lain turut menerima anugerah dalam kategori masing-masing dan menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Bagi penerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan), Prof Madya Dr Fauziah Abdul Rahim, 48, berharap pengiktirafan yang diterimanya dapat memberi inspirasi kepada ahli akademik lain untuk lebih berinovasi dalam mereka bentuk aktiviti pembelajaran pelajar. 

Dr Fauziah yang berkhidmat di Fakulti Bioteknologi dan Sains Molekul, Universiti Putra Malaysia (UPM) selama 11 tahun berkata, pembelajaran sepatutnya lebih menyeronokkan jika pelajar dibabitkan sama dalam mereka bentuk aktiviti pembelajaran. 

“Saya lebih suka menerapkan teknik pengajaran berasaskan teknologi di mana pelajar perlu menggunakan telefon bimbit dan komputer riba. 

“Saya amalkan konsep BYOD iaitu Bring Your Own Device. Pada mulanya, pelajar saya sukar menerima konsep ini namun, lama- kelamaan mereka menganggap ia sebagai habit dan kemudian mereka sendiri yang minta saya teruskan kaedah pengajaran seperti itu,” katanya. 

Beliau berkata setiap kelas yang dikendalikannya tiada kuliah, sebaliknya dilengkapi pelbagai aktiviti namun, ia masih lagi berasaskan subjek mikrobiologi yang diajarnya. 

“Setiap pelajar perlu mencapai hasil pelajaran yang ditetapkan. Teknik pengajaran yang diaplikasi ini berbentuk active learning di mana pelajar tidak melalui sesi kuliah sebaliknya melakukan aktiviti berasaskan pengajaran,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan, Prof Madya Dr Juan Joon Ching, 38, dari Universiti Malaya (UM), berkata anugerah diterimanya itu adalah pengiktirafan tertinggi pernah diterimanya sepanjang karier sebagai pensyarah universiti. 

Katanya, ia juga menjadi dorongan kepadanya untuk terus berusaha lebih gigih lagi dalam bidang akademik, penyelidikan dan pengajaran. 

“Sebelum ini saya pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Saintis Muda Negara pada 2016, Malaysia Research Star Award 2017 dan beberapa anugerah kecemerlangan daripada UM. 

“Kepakaran saya adalah dalam bidang kimia dan kini saya berkhidmat di Pusat Penyelidikan Nanocat UM.

“Bagi saya, bidang akademik negara perlu dipertingkatkan lagi selain harus mempunyai misi yang lebih tinggi. 

“Pelajar sekarang mulai bosan dengan kaedah pengajaran yang ada. Justeru, ia perlu menampilkan beberapa idea baru termasuk e-learning selain mengeluarkan kajian dan penyelidikan berimpak tinggi. Penyelidikan tidak perlu banyak, biar sikit tapi berkualiti,” katanya. 

Penerima lain termasuk Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dari Universiti Malaya (UM) yang menerima Anugerah Penerbitan Buku; Mohd Faizul Noorizan dari (Universiti Teknologi MARA) menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Kraf) dan Prof Madya Dr Mawar Safei (Universiti Kebangsaan Malaysia) menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Penulisan Kreatif) serta Prof Madya Dr Wan Zuhainis Saad dari Universiti Putra Malaysia pula menerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen).

AAN yang mula diperkenalkan pada 2006 adalah pengiktirafan tertinggi kepada sarjana yang sedang berkhidmat atau pernah berkhidmat di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ia diberikan berdasarkan sumbangan dalam bidang pengajaran, penemuan ilmu, penulisan, penerbitan ilmiah dan kreatif, pemindahan dan pengembangan ilmu.

Berita Harian X