Khamis, 29 November 2018 | 1:21pm
TUN Dr Mahathir ketika berucap dalam Dewan Rakyat. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kerajaan pastikan keamanan negara tidak digugat - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan kerajaan akan memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa.

Sehubungan itu, perdana menteri memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan perkara itu.

“Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendokong prinsip ‘rule of law’, juga akan bertindak berdasarkan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Isnin lalu.

Perdana Menteri menegaskan, ia bukan niat kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan semua pihak harus faham akan batas-batas demokrasi ini.

“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya.

Dr Mahathir juga sekali lagi menekankan bahawa insiden itu bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan hubungan antara kaum di negara ini.

Katanya, kerajaan juga tidak akan teragak-ajak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha provokasi dan terhadap mereka yang cuba mencabar undang-undang negara.

“Kerajaan telah berjanji tidak melakukan sebarang halangan untuk pemberitaan dan komunikasi tetapi kebebasan ini harus digunakan dengan penuh tanggungjawab dan bukan untuk mengapi-apikan keadaan yang boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonian perhubungan antara kaum.

“Ini juga bukan masanya untuk menuding jari terhadap sesiapa. Pihak polis sudahpun diberi tanggungjawab untuk mengawal ketenteraman serta menjalankan siasatan. Yang bersalah akan tetap bersalah dan akan menghadapi tindakan undang-undang yang sewajarnya," katanya.

Beliau juga menggesa semua rakyat supaya bertenang dan mengelak dari terbabit di dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan untuk melakukan hasutan.

Katanya, adalah amat penting bagi semua pihak untuk sedar bahawa keselamatan serta kestabilan negara adalah tanggungjawab bersama.

“Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, sama ada di dalam Dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang ini pun sudah banyak berita palsu dan salah yang diedarkan.

“Kepada ahli politik serta pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan yang berkepentingan janganlah ada pula yang cuba menangguk di air keruh,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, pihak polis telah diberi kuasa untuk menangani keadaan ini dengan tangkas dan untuk meredakan ketegangan serta mengembalikan ketenteraman awam.

Dr Mahathir berkata, kecederaan serius kepada anggota bomba penyelamat serta pasukan polis, kerosakan harta benda awam dan persendirian akibat tindakan perusuh yang tidak bertanggungjawab tidak boleh dipandang ringan.

“Kerajaan tidak memandang ringan insiden seperti ini yang boleh membawa kepada masalah yang lebih besar melibatkan ketenteraman kaum. Saya telah diberi penerangan tentang perkembangan terkini siasatan ke atas insiden ini serta tindakan susulan yang diambil pihak berkuasa.

“Saya berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak untuk mengawal keadaan ini daripada merebak,” katanya.

Rusuhan itu telah menyebabkan kecederaan parah seorang anggota bomba Mohd Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara.

Ia juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kerosakan harta benda awam dan persendirian.

Sehingga kini, 30 individu telah ditahan polis untuk siasatan berhubung kes berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X