Rabu, 28 November 2018 | 5:53pm
MOHD Sany Hamzan. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Pemuda AMANAH kesal kerajaan terlalu 'berlembut'

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kesal dengan pendirian kerajaan yang disifatkan terlalu ‘berlembut’ terhadap penyalahgunaan Internet dan media sosial, khususnya penyebaran berita palsu, hasutan serta menyentuh isu perkauman.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan, berkata mereka turut kesal dengan tindakan kerajaan menggantung penggunaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam penyiasatan serta pendakwaan atas alasan ia menzalimi rakyat.

“Keadaan menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa tiada alternatif lain menggantikan Seksyen 233 berkenaan. Akibatnya, ada dalam kalangan masyarakat kini sedang bermaharajalela menyebar berita palsu dan perkauman melalui dalam talian.

“Peristiwa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman menjadi bukti bagaimana berita palsu dan perkauman berjaya membangkitkan kemarahan penduduk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Sany berkata, tindakan kerajaan menyekat penggunaan Seksyen 233 juga wajar dipersoalkan berikutan negara belum mempunyai undang-undang lain seumpamanya sebagai ganti.

Beliau berkata, Malaysia terbentuk melalui latar belakang sosial, budaya dan pegangan agama berbeza, justeru faktor utama perpaduan serta keharmonian dapat dikekalkan ialah melalui undang-undang yang mantap dengan penguatkuasaan tegas.

Katanya, selepas peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia meletakkan sebarang perbuatan berupa ancaman terhadap keharmonian dan perpaduan kaum, sebagai satu kesalahan amat serius.

“Pelbagai akta dihasilkan bagi menangani masalah terbabit dan antara undang-undang yang baik untuk mengekalkan perpaduan dan ketenteraman kaum ialah Seksyen 233.

“Seksyen 233 bukan digubal bagi tujuan politik, sebaliknya untuk menjadikan penyalahgunaan Internet seperti menyebarkan komunikasi bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau jelik dengan niat menyakitkan hati, mendera, mengancam atau mengganggu orang lain, sebagai satu kesalahan dan seterusnya dapat memelihara ketenteraman awam.

“Justeru, adakah kerajaan ingin memperjudikan keselamatan dan ketenteraman negara semata-mata ingin mengambil hati pengundi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto?” katanya.

Mohd Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, kerajaan perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengiktiraf Seksyen 233 adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain undang-undang yang mantap.

Sehubungan itu, beliau berkata, pendirian kerajaan bahawa Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ialah satu seksyen ‘draconian’ dan terbuka kepada salah guna tangkapan, siasatan serta pendakwaan, adalah tidak tepat sama sekali.

Katanya, tiada ruang bagi salah guna tangkapan, siasatan dan pendakwaan sedemikian di negara ini kerana budi bicara untuk mendakwa terletak pada Pendakwa Raya seperti termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda AMANAH secara tegas ingin menyatakan bahawa Seksyen 233(1)(a) Akta 588 adalah undang-undang sah digubal Parlimen untuk meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan bersuara dan berekspresi yang dirasakan perlu serta sesuai demi menjaga kepentingan ketenteraman awam dan moral.

“Ia adalah satu tindakan legislatif yang sesuai dengan objektif hendak dicapai kerana jika tidak dibendung, dikhuatiri akan menyebabkan bahaya lebih besar, selain menggugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

“Kekacauan inilah yang cuba dibendung Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Berita Harian X