Selasa, 27 November 2018 | 11:15pm
Lynas Corporation Ltd
Lynas Corporation Ltd

Lynas timbang henti operasi sementara

KUALA LUMPUR: Lynas Corporation Ltd akan menutup operasi loji di Gebeng, Kuantan buat sementara waktu sekiranya gagal mendapat kelulusan kerajaan berhubung pertimbangan meningkatkan kadar pengeluaran unsur nadir bumi berkualiti tinggi dari kawasan terbabit.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze, berkata permohonan mengenai perkara itu difailkan selepas syarikat berkenaan kini menghampiri had pengeluaran tahunan seperti yang diluluskan kerajaan.

Katanya, keputusan untuk menghentikan operasi loji terbabit untuk sementara waktu sudah dimaklumkan kepada pelabur apabila unjuran menyaksikan syarikat bakal berdepan penyusutan pendapatan menjangkau A$16 juta (RM48.5 juta).

“Jika bukan angkara ketidaktentuan persekitaran politik yang melanda ketika ini, kami sudah tentu mendapat kelulusan untuk meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

“Penjawat awam tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya, malah ia seiring dengan peruntukan dan syarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya seperti dilaporkan portal Australia, Sydney Morning Herald, hari ini.

Pada 11 November lalu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Material Plants (LAMP), Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar, dilaporkan berkata laporan penuh dan hasil kajian akan diserahkan kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan, Yeo Bee Yin, hari ini.

Mazlin berkata, laporan itu kemudian dijangka dibentangkan untuk penelitian lanjut pada mesyuarat Kabinet bagi merangka sebarang tindakan susulan berhubung status operasi loji Lynas.

Tiga aspek penilaian yang digariskan ialah aspek pematuhan kilang pengeluaran unsur nadir bumi berkenaan terhadap piawaian kesihatan dan keselamatan, alam sekitar dan pengurusan sisa radioaktif serta bahan berjadual dihasilkannya kepada alam sekitar.

Berita Harian X